Sangkak adalah tempat ayam bertelur. Dalam dialek Kelantan
dipanggil sakok. Sangkak biasanya dibuat daripada batang buluh pada satu
bahagian hujung dibelah-belah dan kemudian dianyam membentuk seperti bentuk
kon.
Sangkak juga dipanggil terak. Selain itu satu lagi yang membawa maksud tempat
ayam bertelur ialah petarangan. Satu peribahasa Melayu menggunakan perkataan
sangkak ialah menjunjung sangkak ayam yang bermaksud mendapat malu besar.
Sangkak ayam memang terkenal dalam masyarakat Melayu. Boleh
dikatakan di setiap rumah ada sangkak kerana pada masa dahulu setiap keluarga
ada membela ayam yang sekarang dipanggil ayam kampung untuk membezakan dengan
ayam daging yang menjadi bahan menu masyarakat sekarang.
Ayam kampung dibiarkan bebas. Ayam betina yang ingin
bertelur akan mencari tempat khas untuk bertelur dan seterusnya mengeramkan
telurnya itu sehingga menetas mengeluarkan anak ayam.
Biarpun sifat ayam tidak prihatin seperti burung yang
membuat sarang tempat bertelur, ayam betina akan mencari tempat yang sesuai.
Untuk mengelak ayam memilih atau membuat sarang di tempat tidak sesuai, maka
tuan ayam akan menyediakan tempat untuk bertelur yang dipanggil sangkak itu.
Sangkak diletakkan di bawah rumah untuk mengelak ia ditimpa
hujan. Pada masa dahulu boleh dikatakan semua rumah ada bahagian bawah rumah
dengan kadar tinggi sekurang-kurangnya satu meter. Ada rumah kampung yang
bahagian bawah rumah setinggi dua hingga tiga meter. Orang boleh berjalan di
bawahnya tanpa perlu membongkokkan badan.
Sangkak akan diletakkan rumput kering atau jerami kering.
Ada juga yang meletakkan kain buruk. Tujuannya untuk ayam selesa bertelur di
situ dan mudah proses mengeram.
Setelah proses mengeram dan telur menetas, ayam akan
meninggalkan sangkak. Ayam akan kembali ke sangkak itu semula apabila ingin
bertelur lagi.
Ketika sangkak itu kosong, ada ayam lain pula akan
menggunakan. Masalahnya jika ayam ingin bertelur serentak yang menyebabkan
berlaku perebutan di antara ayam betina.

No comments:
Post a Comment