Sunday, 15 January 2017

Cara komunikasi bahasa isyarat

Mengikut difinisi, bahasa isyarat adalah bahasa mengutamakan komunikasi manual, bahasa tubuh dan gerak bibir untuk berkomunikasi. 
 
Cara komunikasi bahasa isyarat menjadi cara utama untuk mereka yang menghadapi masalah pendengaran dan pertuturan untuk berkomunikasi. Mereka tidak mendengar apa yang diucapkan kepada mereka. Justeru, individu lain yang ingin berkomunikasi dengan mereka kenalah membuatkan bahasa isyarat.
           
Kebiasannya orang menghadapi masalah pendengaran juga berdepan dengan masalah pertuturan atau dipanggil bisu. Jadi, mereka terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan orang lain.
           
Mereka yang menggunakan bahasa ini, biasanya dengan mengkombinasikan bentuk tangan, orientasi dan gerak tangan, lengan dan tubuh, serta ekspresi wajah untuk mengungkapkan fikiran, apa yang ingin diucapkan atau ingin disampaikan oleh mereka. 
           
Tahap atau kaedah penggunaan bahasa isyarat tidak khusus. Asal apa yang ingin dikomunikasikan itu tercapai, maka ia diterima sebagai satu bahasa isyarat dalam konteks pihak-pihak yang terlibat. . 

Secara tuntasnya, belum terdapat bahasa isyarat pada peringkat antarabangsa. Setiap kaum atau penduduk di sesebuah negara menggunakan bahasa isyarat yang berbeza biapun terdapat persamaan dalam hal-hal tertentu yang boleh difahami di peringkat antarabangsa. 


Biarpun bahasa isyarat dikaitkan dengan mereka yang menghadapi masalah pendengaran, hakikatnya orang normal juga sebenarnya secara tidak disedari turut menggunakan bahasa isyarat dalam perhubungan seharian. Hal ini lebih merujuk kepada penggunaan bahasa badan atau penggunaan bahagian badan tertentu ketika berkomunikasi. 

Dalam masyarakat yang Malaysia berbilang kaum, penggunaan bahasa isyarat dilihat lebih penting berbanding dengan kehidupan masyarakat yang hidup di negara mempunyai penduduk atau kaum atau mengamalkan satu budaya sahaja.  

Tidak dinafikan, biarpun telah lama berhubung dan bergaul dalam kehidupan seharian, masyarakat Malaysia masih berdepan dengan masalah berkomunikasi. 
 
Terdapat kaum bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu dan sukar untuk berhubung dengan orang Melayu dan bangsa lain. 

Didapati golongan tua kaum Cina dan India tidak lancar bertutur dalam bahasa Malaysia. Mereka tinggal di dalam kelompok masyarakat sendiri tanpa terdedah kepada hubungan dengan masyarakat lain. Kaum India lebih tertumpu tinggal di estat dan ladang, manakala kaum Cina pula menguruskan perniagaan.

Selain, itu satu lagi keadaan yang ketara membataskan komunikasi masyarakat Malaysia ialah di kalangan penduduk Orang Asli dan penduduk peribumi di Sabah dan Sarawak. 

Golongan ini, terutama yang tinggal di perdalaman dan kurang berhubung dengan masyarakat luar, tidak mampu menggunakan bahasa Malaysia dengan baik. Keadaan itu menyebabkan mereka sukar untuk berkomunikasi dengan orang ramai.

Keaadan atau fenomena yang dinyatakan di atas menyebabkan pentingnya penggunaan bahasa isyarat sebagai medium untuk berkomunikasi dalam budaya Malaysia.

Biarpun penggunaan bahasa isyarat agak terbatas, tetapi tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Perkara ini secara tidak langsung dapat mengatasi masalah atau halangan berkomunikasi. 

Dalam masyarakat Malaysia tidak terdapat bahasa isyarat khusus yang digunakan, melainkan apa yag diajarkan di sekolah kepada pelajar cacat pendengaran dan bisu. Mereka ini mengikuti pembelajaran bahasa isyarat yang 'rasmi' yang digunakan di negara kita.

Namun, di kalangan orang kebanyakan, penggunaan bahasa isyarat tidak tetap. Di kalangan keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang cacat pendengara dan bisu, mereka mempunyai bahasa isyarat sendiri yang 'boleh' difahami atau diterima di kalangan ahli keluarga.

Pun begitu, bentuk bahasa isyarat yang digunakan itu biasanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Ini kerana bahasa isyarat yang digunakan adalah lebih berbentuk menggambarkan sesuatu perbuatan. Keadaan ini juga adalah merujuk kepada bahasa isyarat yang digunakan oleh kaum-kaum di Malaysia. 

Sebagai contohnya, bahasa isyarat yang gunakan oleh semua kaum untuk menunjukkan 'makan' ialah keadaan tangan yang seakan-akan menjemput atau memegang makanan dibawa dan diletakkan di bahagain mulut. Bahasa isyarat itu boleh dianggap 'khusus' dan difahami oleh masyarakat di seluruh dunia.

Dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia, terdapat bahasa isyarat 'khusus' yang dimudah difahami. Keadaan 'persefahaman' ini memudahkan untuk berkomunikasi biarpun mereka tidak mengetahui secara mendalam sesuatu amalan yang dimaksudkan.

Sebagai contoh, masyarakat berbilang kaum di negara memahami atau mengerti jika ditunjukkan bahasa isyarat mengangkat kedua-dua belah tangan ke hujung telinga dan tangan itu diletakkan di bahagain perut (takbir semasa sembahayang), bahawasanya ia dikaitkan dengan ibadat sembahyang yang dilakukan oleh orang Islam.

Jadi, jika ditunjukkan atau melihat 'bahasa isyarat' itu, orang bukan Islam akan mengambil tindakan yang sewajarnya pada masa itu. Mereka akan menghormati kedudukan orang Islam yang sedang bersembahayang itu, seperti tidak bercakap, tidak melakukan perbuatan yang mereka 'tahu' tidak boleh dilakukan oleh orang sedang bersembahayang dan sebagainya.

Kefahaman itu biarpun nampak mudah, hakikatnya bahasa isyarat yang difahami itu dapat mengelak daripada berlaku salah faham sehingga boleh menimbulkan keadaan tegang. 

Bayangkan, jika orang bukan Islam tidak memahami bahasa isyarat orang Islam sedang bersembahyang, sudah tentu mereka akan melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam.

Contoh bahasa isyarat lain yang kerap digunakan dan mudah difahami oleh semua rakyat Malaysia ialah tanda hormat dengan cara menundukkan sedikit bahagian kepala. Isyarat itu dilakukan selain beberapa amalan lain seperti bersalam atau mengucapkan perkataan tertentu.

Ketika bertemu, masyarakat Malaysia akan menundukkan sedikit bahagian kepada sebagai tanda hormat kepada orang yang ditemui itu.  Amalan ini diamalkan oleh semua kaum dan mereka faham bahawa jika perbuatan itu dilakukan, itu menunjukkan mereka dihormati. Sebagai balasannya mereka pula akan melakukan tindakan yang sama. 

Jika mereka tidak memahami bahasa isyarat itu, contohnya tidak membalas kembali tanda hormat itu, akan menyebabkan pihak yang memberi hormat itu akan merasakan orang yang dihormat itu tidak berbudi bahasa.  

Keadaan ini mewujudkan suasana 'tegang' dan perasaan tidak puashati. 
Lebih memburukkan keadaan jika mereka tersilap mentafsir maksud sebenar amalan itu.

Contoh lain bahasa isyarat yang umum difahami di kalangan masyarakat Malaysia ialah menangkat tangan hingga paras bahu. Perbuatan itu difahami bahawa itu tanda hormat, sapaan atau menyedari kehadirian mereka. 

Perbuatan itu dilakukan jika kedudukan mereka 'berkomunikasi' itu dalam jarak yang mampu dicapai oleh tangan atau mereka tidak mampu untuk berjabat tangan atau bersalam. 

Tanda itu juga dilakukan untuk menghormati kelompok orang yang banyak di mana dirasakan sudah memadai bahawa mereka berkomunikasi dengan semua orang yang melihat perbuatan itu.

Mereka yang melihat atau menyedari ada individu lain mengangkat tangan kepadanya, maka dalam budaya masyarakat Malaysia, individu itu perlu membalasnya dengan juga mengangkat tangan. Perbuatan itu umpama seperti mereka menerima menjabat tangan yang dihulurkan oleh orang lain. 

Bahasa isyarat tangan ini bukan juga satu bentuk komunikasi antara lelaki dan perempuan. Orang Islam lelaki biasanya tidak bersalam atau berjabat tangan dengan perempuan bukan mahram. 

Perbuatan bersentuhan lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram. Jadi sebagai tanda komunikasi atau sapaan, bahasa isyarat yang digunakan adalah mengangkat tangan, selain menundukkan sedikit bahagaian kepala seperti dijelaskan sebelum ini.

Penggunaan bahasa isyarat yang dinyatakan di atas ternyata amat berkesan sebagai bahasa komunikasi rakyat Malaysia pelbagai kaum. Selain itu terdapat banyak lagi bahasa isyarat lain yang digunakan yang menjadi medium berkomunikasi.

Dengan kata lain, bahasa isyarat banyak memberi sumbangan kepada pembentuk hubungan harmoni rakyat Malaysia. Penggunaan bahasa isyarat ini dapat mengurangkan tekanan dalam perhubungan kepada merasakan sudah berjaya mengekspresikan perasaan dan kehendak yang ingin dizahirkan.  

Biarpun diakui keberkesanan bahasa isyarat dalam mengeratkan hubungan, tidak pula dianggap sebagai cara berkomunikasi terbaik. Ini kerana penggunaan bahasa isyarat untuk tujuan berkomunikasi agak terbatas. 

Jika dibandingkan dengan komunikasi menggunakan percakapan normal iaitu dengan menggunakan suara, bahasa isyarat mempunyai batasan kelancaran untuk berkomunikasi dari segi kepantasan dan penerimaan maksud yang ingin disampaikan.

Kemungkinan boleh berlaku salah faham ketika berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat yang melibatkan penggunaan simbol-simbol dan gerakan tangan yang banyak dan rumit.

No comments:

Post a Comment