Sunday, 15 January 2017

Takrif pemasaran Kotler

Menurut Kotler (2000), pemasaran ditakrif sebagai satu proses sosial dan pengurusan oleh individu atau kumpulan untuk memperoleh sesuatu bagi memenuhi keperluan dan kehendak melalui pertukaran antara satu sama lain.

Manakala Mohd Said Othman (2007) pula mentakrifkan pemasaran sebagai satu proses, aktiviti atau kemahiran seosial oleh individu atau kumpulan untuk mencapai matlamat melalui rekaan, ciptaan, pembentukan dan pertukaran barangan, perkhidmatan, idea atau sesuatu yang bernilai dalam sesebuah masyarakat.

Berdasarkan kepada takrif Kotler, pemasaran adalah satu proses melibatkan hubungan sesama manusia dalam satu bentuk teratur atau diterima sebagai satu kebiasaan. Aktiviti ini berlaku secara terurus yang melibatkan satu kemahiran atau keperluan khusus.  

Sebab itu ia dikatakan sebagai 'pengurusan' yang secara jelas membuktikan perlunya satu pendekatan atau amalan tertentu yang perlu dipatuhi dalam proses pemasaran.

Ia melibatkan hubungan antara individu dengan individu, individu dengan kumpulan atau kumpulan dengan kumpulan. 

Contohnya, seorang pembeli mendapatkan khidmat dari pemandu teksi, atau seorang pembeli membeli barang keperluan di pasar raya yang dimiliki oleh satu syarikat dimiliki banyak pelabur. Atau, pasar raya sebagai satu entiti perniagaan dimiliki banyak pelabur berurusan dengan satu pasar raya lain yang juga dimiliki banyak pelabur.

Hubungan itu dilakukan atas satu keperluan atau kehendak, yang mana terlaksana melalui pertukaran antara satu sama lain. Takrif itu membawa maksud fasa pemasaran ini terlaksana melalui petukaran yang mana melibatkan barang dengan barang, atau barang dengan satu pertukaran yang diterima kedua-dua pihak, contohnya wang. 

Pertukaran itu bagi memenuhi keperluan atau kehendak manusia yang memerlukan selain apa yang telah dimiliki.

Manakala jika dirujuk kepada takrif diberikan Mohd Said pula, pemasaran menekankan kepada bagaimana aktiviti manusia menghasilkan satu-satu produk dan kemudian produk yang bernilai dalam sesuatu masyarakat itu pula ditukar sesama mereka. 

Takrif itu, memperlihatkan bahawa produk itu tidak semestinya barangan. Sebaliknya, satu ciptaan idea atau kemahiran juga dianggap sebagai satu produk. Contohnya, kemahiran seorang peguam yang menawarkan kepakarannya dan dimanfaatkan oleh individu atau kumpulan lain.

Kedua-dua takrif itu memperlihatkan persamaan iaitu melibatkan 'pertukaran'. Jelas sekali bahawa pemasaran adalah proses pertukaran melibatkan dua pihak yang saling memerlukan, tidak kiralah ia satu produk dalam bentuk barang, idea mahupun pengalaman. 

Pertukaran itu sama ada melibatkan keuntungan atau satu khidmat sosial yang diberikan secara percuma. Perlu ditegaskan di sini, pemasaran tidak hanya melibatkan aspek keuntungan dari segi kewangan semata. 

Keuntungan yang diperoleh mungkin dari segi kepuasan diri, hubungan baik, balasan di akhirat dan seumpamanya. 

Dalam Islam, setiap apa yang dilakukan mesti bersandarkan kepada apakah hasil tindakan dilakukan itu untuk bekalan hidup di akhirat. Keuntungan di dunia belum tentu menjamin keuntungan di akhirat jika ia dilakukan bertentangan apa yang ditetapkan syariat.

No comments:

Post a Comment