Saturday, 29 July 2017

Asal jangan putus rokok

Setiap kali harga rokok naik, perokok tidak membantah atau melahirkan rasa tidak puas hati tindakan kerajaan itu,berbeza dengan kenaikan harga gula dan barang lain yang pasti mendapat bantahan rakyat.

Perokok yang sudah berada di peringkat ketagih pasti tidak berganjak daripada amalan itu biarpun harga rokok dinaikkan. Mereka yang berada di tahap ketagih rela membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk membeli rokok. Sebab itu, perokok tidak membantah kenaikan harga rokok.   

Kata-kata, “biar putus cinta jangan putus rokok” membuktikan perokok sanggup berdepan dengan segala masalah asalkan tabiat merokok dapat diteruskan. Mengapa begitu tegar tabiat perokok yang rela melakukan apa saja demi meneruskan tabiat merokok? 

Merokok bukan saja membahayakan kesihatan dan membazirkan wang, bahkan ditegah oleh agama Islam.  

Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat ke 2 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.”

Manakala firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk.” (Surah al-Aaraf, ayat 157)

Lanjutan itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam. Jadi, anggapan kebanyakan perokok mengatakan perbuatan itu sekadar makruh adalah tidak benar.  

Komitmen kerajaan memerangi gejala ketagih dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  Kerajaan membelanjakan peruntukan besar bagi mengatasi tabiat buruk ini. Kempen anti-merokok ‘Tak Nak’ membabitkan kos promosi sebanyak RM100 juta, namun gagal mengurangkan tabiat merokok. Sebaliknya, amat mengejutkan jumlah perokok wanita pula meningkat sekali ganda.

Statistik menunjukkan rakyat Malaysia yang merokok sekitar 3.4 juta orang melibatkan kira-kira 23.7 bilion batang rokok setahun. Jumlah perokok dijangka meningkat menjadi empat juta perokok menjelang 2020. Sebanyak lebih RM15 juta sehari dibakar oleh perokok.

Sepatutnya wang itu boleh digunakan untuk tujuan mendatangkan kebaikan. Kedudukan orang Islam semakin kukuh jika wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi. Apa lagi jika ia digunakan ke jalan Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud: “Dan hendaklah kamu memberikan derma untuk kepentingan sabilillah dan janganlah kamu menjermuskan diri dalam jurang kebinasaan, dan hendaklah bertindak sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”

Tabiat merokok adalah aktiviti negatif yang membawa impak buruk kepada kesihatan. Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok. Bayangkan sekiranya perokok menghisap 20 batang rokok sehari, dalam masa 30 tahun dia menghisap kira-kira 200 ribu batang rokok. 

Kenaikan cukai rokok adalah selari dengan syor yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya cukai rokok dinaikkan 65 peratus daripada harga runcit rokok dalam usaha mengurangkan tabiat merokok.

Peningkatan percukaian dan penetapan harga minimum rokok diyakini dapat mengurangkan permintaan terhadap rokok di kalangan perokok baru. Harga yang mahal juga diharapkan perokok lebih kedekut untuk berkongsi rokok dengan orang lain. Cara itu diharapkan mengurangkan kadar merokok secara berkumpulan. 

No comments:

Post a Comment