Tuesday, 17 October 2017

Ucap salam rapatkan persaudaraan

Memberi salam pembuka tirai suatu perkenalan. Salam menghancurkan rintangan untuk bermesra antara satu dengan lain. Langkah selanjutnya bagi seorang mukmin selepas bersapa dengan salam ialah bertaaruf.

Maksud sabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang kamu bertemu dengan seorang sahabatnya, maka hendaklah mengucapkan assalamualaikum warahmatullah.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai).

Hadis itu jelas bermaksud mengarahkan agar setiap Muslim mengucapkan salam apabila berjumpa dengan Muslim lain. Malah dalam hadis lain ada dijelaskan larangan bercakap tanpa dimulakan dengan salam.

Maka sebab itu, individu yang beriman mengutamakan memberi salam dan menjawab salam kerana ia sebagai mentaati suruhan agama. Jelas sekali betapa pentingnya ucapan salam diucapkan ketika bertemu sesama Muslim.

Hadis diriwayatkan Tabrani dan Abu Naim bermaksud: “Sesiapa mulai bercakap-cakap sebelum memberi salam, maka janganlah kamu menjawab percakapannya, sehinggalah dia memulainya dengan memberi salam.”

Saudara sebangsa dan seagama, tidak bermakna jika tidak berkenalan antara satu salam lain. Kepelbagaian budaya dan warna hidup, pasti meluaskan pandangan dan pengalaman. Banyak iktibar yang boleh didapati apabila kita berpeluang melihat manusia pelbagai bangsa, bertukar fikiran dan pengalaman dengan saudara kita.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan kabilah, adalah untuk saling berkenalan. Sesungguhnya yang lebih mulia di kalangan kamu ialah orang yang lebih bertakwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Marilah dalam usaha kita membina kembali ummah, mulakan kehidupan baru dalam hubungan sesama Islam. Kita menghormati sesama Islam dan menghidupkan kembali suasana persaudaraan di kalangan orang tua, ibu bapa menghormati anak dan anak menghormati ibu bapa.

Bagi umat Islam, perkenalan yang diikat oleh tali persaudaraan mesti dijalinkan dan dikukuhkan sehingga mampu bekerjasama. Bekerjasama menjayakan kebaikan, memenuhi keperluan hidup, menjayakan bangsa untuk memelihara maruah, bangsa dan agama.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bekerjasamalah untuk kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bekerjasama untuk melakukan dosa dan permusuhan." (Surah al-Maaidah, ayat 2).

Peliharalah lidah daripada mengeluarkan kata-kata cemar dan kotor terhadap sesama Islam, sama ada kawan, teman, anak, isteri atau kepada sesiapa saja. Inilah akhlak Islam dan marilah kita menghayatinya sepenuh hati.

Perjuangan membina ummah perlu kerjasama daripada setiap anggota ummah. Kerana itu kita mesti mengenali mereka, mencari jalan untuk berkenalan dan diikuti dengan usaha mendapat kerjasama serta sokongan mereka.

Jauhkan kerja yang merenggangkan kita dengan ummah. Mereka adalah saudara dan sahabat kita. Dapatkan kerjasama semua pihak untuk menjayakan niat suci membina kembali umat dan bangsa yang dikasihi. Niat suci yang besar ini, jika mendapat kerjasama semua pihak akan dapat diterjemahkan menjadi kenyataan.

Ingatlah bahawa usaha membina ummah, berjalan atas asas persaudaraan, kasih sayang, kesungguhan dan pergantungan dengan seluruh anggota ummah adalah berkat sokongan semua pihak. Justeru, kerja yang berat akan menjadi ringan dan yang susah akan menjadi mudah.

Kerjasama adalah sebahagian fenomena persaudaraan yang hendak ditegakkan Islam di kalangan umatnya. Kerjasama itu, jika diteruskan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, akan berkembang mencapai tahap tadhamun iaitu ikatan setia kawan antara umat Islam.

Inilah yang perlu dicapai masyarakat Islam seperti dirakamkan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang-orang beriman di dalam kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah seperti satu jasad yang jika sebahagian anggota itu mengadu sakit, ia membawa seluruh jasad itu berjaga malam dan demam." (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

No comments:

Post a Comment