Kekuatan umat Islam perlu diperkukuhkan. Usaha membina ummah perlu kerjasama semua pihak. Antara perlu dilakukan ialah saling mengenali sesama Islam. Usaha pertama ialah mencari jalan untuk berkenalan dan diikuti dengan usaha
mendapat kerjasama serta sokongan.
Jauhkan kerja yang merenggangkan kita dengan
ummah. Mereka adalah saudara dan sahabat kita. Dapatkan kerjasama semua pihak
untuk menjayakan niat suci membina kembali umat dan bangsa yang dikasihi. Niat
suci yang besar ini, jika mendapat kerjasama semua pihak akan dapat
diterjemahkan menjadi kenyataan.
Ingatlah bahawa usaha membina ummah, berjalan atas
asas persaudaraan, kasih sayang, kesungguhan dan pergantungan dengan seluruh
anggota ummah adalah berkat sokongan semua pihak. Justeru, kerja yang berat
akan menjadi ringan dan yang susah akan menjadi mudah.
Kerjasama adalah sebahagian fenomena persaudaraan
yang hendak ditegakkan Islam di kalangan umatnya. Kerjasama itu, jika
diteruskan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, akan berkembang mencapai
tahap tadhamun iaitu ikatan setia kawan antara umat Islam.
Inilah yang perlu dicapai masyarakat Islam seperti
dirakamkan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan
orang-orang beriman di dalam kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah
seperti satu jasad yang jika sebahagian anggota itu mengadu sakit, ia membawa
seluruh jasad itu berjaga malam dan demam." (Hadis riwayat Ahmad dan
Muslim )
Oleh kerana adanya setia kawan yang kuat dan padu,
masyarakat Islam pada zaman awal Islam tidak boleh dipermainkan oleh
sesiapapun. Mereka mempunyai maruah yang tinggi dan disegani kerana mereka
prihatin terhadap kesusahan dan kesulitan saudara mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: “Muhammad pesuruh
dan mereka yang bersama-samanya bersikap tegas terhadap orang-orang kafir dan
saling berkasih sayang sesama mereka.” (Surah Al-Fath, ayat 29)
Tetapi ketegasan dalam tindakan mereka sentiasa
berpegang kepada keadilan. Mereka akan memihak kepada yang benar, walaupun
terpaksa menghukum diri serta saudara. Mereka berpegang kepada prinsip yang
ditetapkan al-Quran.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya
Kami turunkan kepada kamu kitab supaya kamu menjalankan hukuman di kalangan
manusia dengan apa yang dipeliharakan kepada kamu kepada Allah dan jangan kamu
menjadi pembela kepada orang yang khianat." (Surah al-Nisa, ayat 105)
Ayat itu mengenai Ibn Ubairaq yang mencuri sebilah
pedang dan kemudian melemparkan tuduhan kepada seorang yang tidak bersalah. Orang
yang dituduh itu sama ada daripada kalangan orang Ansar atau Yahudi.
Larangan menjadi pembela kepada pengkhianat itu
merangkumi perbuatan khianat terhadap orang Islam atau kafir muahad (yang
memeterai perjanjian damai dan hidup bersama secara aman). Kerana itu, keadilan
adalah menjadi pegangan kukuh mereka dalam pelaksanaan sikap tegas.
No comments:
Post a Comment