Maruah perkara berharga
bagi seseorang Muslim. Maruah lambang kemuliaan seseorang. Maruah ialah
nilai-nilai kebaikan atau kemuliaan diri atau kehormatan diri. Maka itu, jangan
melakukan perkara menjatuhkan maruah seseorang biarpun dia miskin dan tidak
berkedudukan
Firman Allah SWT: “Dan
kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat
manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian)
dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah
diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu dalam agama Allah); dan untuk
(perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia,” (Surah Hud: 118)
Allah mendidik manusia
untuk belajar membina realiti kehidupan melalui perbezaan dan perkongsian dalam
satu matlamat yang jelas, iaitu tatacara kehidupan sejahtera dan harmoni.
Inilah yang perlu difahami dalam kerangka menghormati perbezaan pandangan.
Hak memberi pendapat dan
melakukan apa difikirkan baik untuknya perlu dihormati, melainkan ia dalam
perkara yang jelas bertentangan dengan kehendak agama dan tatasusila
kemanusian. Perbezaan membawa kepada kebaikan kerana jika semua manusia hidup
dalam satu pendapat serta cara hidup, ia akan menjadi membosankan.
Dalam hal ini, jika ada pendapat yang perlu 'dibantah', lakukan dengan
penuh berhemah. Hati manusia akan condong
kepada orang yang bersikap lemah-lembut kepadanya. Kami tidak katakan tidak
kepada ketegasan dalam dakwah, namun ada perbezaan antara kasar dan tegas.
Rasulullah SAW bersabda kepada
Aishah: “Duhai Aishah! Zahirkanlah kelembutan kerana jika kelembutan ditemui
dalam apa jua hal, ia akan mengindahkannya dan apabila ia dikeluarkan daripada
sesuatu, ia akan merosakkannya,” (Riwayat Abu Daud, no. 4,808).
No comments:
Post a Comment