Mengapa sukar berlapang
dada menerima perbezaan pendapat. Beza pendapat itu lumrah, tetapi bukan sampai
berbalah dan bermusuhan.
Perselisihan dan pertelingkahan dalam kalangan umat
Islam hari ini amat merisaukan. Kita berbalah sama sendiri hingga diambil kesempatan musuh yang mengalahkan umat Islam dengan mudah.
Media sosial seperti
Facebook, Twitter dan Instagram menjadi bukti betapa ‘penyakit’ ini semakin
membarah. Masa berkawan semua baik. Apabila berlainan aliran pemikiran, habis
perkara buruk dibongkar dan disebarkan.
Benarlah sabda
Rasulullah SAW: “Sesiapa dalam kalangan kalian yang hidup selepas kewafatanku,
maka pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak,” (Riwayat Ahmad, no.
17144).
Amat menyedihkan apabila
perbezaan pandangan tidak diuruskan dengan baik sehingga membawa kepada budaya
keji mengeji, saling mengkafirkan dan menghina sedangkan pihak-pihak yang
terlibat pada hakikatnya masih bernaung bawah satu lembayung syahadah yang
sama.
Akibat beza pendapat, macam-macam
gelaran dilabelkan. Bahasa kasar dan menghina dihamburkan keluar tanpa tapis.
Macam sudah hilang iman di dalam diri.
Lupa dosa dan pahala. Terasa diri terlalu hebat sehingga semua orang
tidak betul.
Perbezaan pandangan
wujud sejak zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai isu. Misalnya semasa Perang
Badar, mereka berbeza pandangan berkenaan kewajaran keluar ke Badar, juga isu
hukuman yang perlu dikenakan kepada tahanan perang. Tidak pula kita terbaca
pergaduhan dan pertelingkahan dalam kalangan para sahabat dalam hal ini.
Selepas kewafatan
Rasulullah SAW, terlalu banyak rekod sejarah berkenaan perbezaan pandangan
dalam kalangan para sahabat.
Antara yang terawal
adalah pemilihan khalifah selepas Baginda. Selepas itu, berlaku perbezaan
pandangan juga dalam hal memerangi golongan yang tidak membayar zakat,
keperluan menghimpunkan al-Quran, berubahnya pendirian Sayidina Umar dalam
masalah hukum bernikah dengan perempuan yang beridah dan lain-lain.
Namun, kedua-dua belah
pihak tetap saling hormat-menghormati tanpa sedikit pun mengurangkan kasih
sayang sesama mereka. Islam terus berkembang dan kuat pada waktu itu.
Kalau mengaku sebagai
Islam, mengapa kita memutuskan silaturahim. Islam amat mementingkan
persaudaraan. Sesama Islam adalah bersaudara.
Sabda Nabi SAW: “Muslim
yang satu dengan Muslim yang lainnya adalah bersaudara. Tidak boleh menyakiti,
merendahkan, ataupun menghinanya,” (Riwayat Muslim, no. 4,650).
No comments:
Post a Comment