Tunai atau bayar zakat termasuk
Rukun Islam. Sesiapa tidak menunaikan zakat sedangkan dia layak atau termasuk
golongan wajib keluar zakat setelah memenuhi syarat ditetapkan,
maka tahap iman belum sempurna.
Yakinlah dengan janji
Allah SWT bahawa mereka yang menunaikannya akan menerima pelbagai ganjaran di
dunia dan akhirat kelak. Zakat tidak akan mengurangkan harta yang dimiliki
kerana Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik. Kebaikan itu dari segi
pertambahan harta, keberkatan, kesihatan, kegembiraan dan sebagainya.
Sifat terlalu cintakan
harta dunia ini perlu dikikis kerana ia mendorong kita bersifat bakhil, tamak,
dan tidak prihatin bagi membantu saudara seagama yang dalam kesusahan.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah
(zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan
mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka,
kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah)
Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah at-Taubah, ayat 103).
Umat Islam perlu lebih serius dalam menunaikan
ibadat zakat kerana ia adalah perintah Allah SWT yang difardukan terhadap orang
Islam yang cukup syarat.
Di dalam al-Quran ada
tiga perintah Allah SWT yang berangkai dan perlu bergerak seiring iaitu
tunaikan zakat dan dirikan solat. Kedua, mentaati Allah SWT dan rasul, ketiga
berterima kasih kepada-Nya serta kedua orang tua.
Jadi, jika kita
menunaikan solat tetapi tidak berzakat, maka sia-sialah amalan yang kita
laksanakan.
Pandangan zakat hanya
perlu ditunaikan oleh golongan kaya adalah tidak benar kerana setiap individu
Muslim yang mencukupi syarat wajib berzakat mesti melaksanakan kewajipan itu.
Harta yang tidak
dikeluarkan zakat dalam keadaan kotor dan tidak subur kerana ada hak milik
orang lain yang sepatutnya mendapat atau menerima zakat itu.
Selain menunaikan
tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak, umat Islam perlu memahamai falsafah
zakat yang bertujuan mendidik mereka menjadi hamba yang bersyukur.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada
kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku
amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)
Antara manifestasi kesyukuran
yang boleh ditunjukkan seorang hamba terhadap nikmat kurniaan yang diberikan
Allah SWT kepada mereka ialah dengan melaksanakan tuntutan membayar zakat
kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa.
No comments:
Post a Comment