Tuesday, 28 August 2018

Wanita dibenar bekerja dengan syarat


Fahaman konservatif mempersoalkan kedudukan wanita sebagai pekerja. Wanita dianggap hanya sesuai menjalankan tugas sebagai isteri. Menyedihkan apabila larangan itu dikaitkan dengan alasan bahawa Islam menghalang wanita bekerja dan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.  .

Sesungguhnya Allah SWT tidak menyekat kebebasan hamba-Nya daripada melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan keluarga. Allah SWT menyuruh melakukan kebaikan tanpa mengkhususkan kepada lelaki atau wanita. 

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 124 bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.”

Sistem pendidikan sama rata membuka peluang kepada wanita memperoleh pendidikan dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Kelulusan dimiliki membuka peluang untuk wanita menyertai pelbagai sektor pekerjaan.    

Banyak sektor pekerjaan tidak membezakan di antara pekerja lelaki dan wanita. Keupayaan bekerja lebih menumpukan kepada kemahiran berbanding kekuatan fizikal, membolehkan wanita melaksanakan tugas dengan sempurna.

Realitinya, banyak wanita berjaya membuktikan kemampuan dalam pelbagai tugas dan kerjaya seperti lelaki. Wanita kini dilantik mengetuai jabatan, organisasi dan sebagainya.

Wanita telah berkahwin perlu mendapat kebenaran daripada suami untuk bekerja. Jika wanita itu telah bekerja sebelum berkahwin dan suami mengetahui perkara itu serta tidak menghalangnya, maka boleh dianggap suami telah mengizinkan untuk terus bekerja. 

Tugas mencari rezeki menjadi tanggungjawab suami. Sebab itu suami dilebihkan kedudukan berbanding isteri. Suami juga sebagai pemimpin.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” - (Surah an-Nisa, ayat 34)

Namun, tidak Islam tidak melarang isteri turut menyumbang dalam kewangan keluarga. Isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah adalah seorang peniaga berjaya. Siti Khadijah menyumbangkan kekayaannya untuk mengembangkan Islam.

Pola sosial ekonomi sekarang menuntut wanita agar turut terlibat dalam ekonomi rumahtangga. Banyak keluarga menghadapi masalah kewangan sekiranya isteri tidak membantu suami dalam soal mencari rezeki.

Kini, bilangan wanita bekerja semakin banyak. Perubahan positif ini disebabkan kesedaran wanita tentang pentingnya mereka turut menyumbangkan tenaga, kemahiran dan fikiran untuk kebaikan diri, keluarga dan negara.

Namun wanita bekerja tidak boleh melupakan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu. Kerja tidak boleh dijadikan alasan mengabaikan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Isteri juga ada tanggungjawab dalam keluarga.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Perempuan itu pemimpin bagi rumahtangga suaminya." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kes isteri mengabaikan tanggungjawab disebabkan mengejar kejayaan dalam kerjaya kerap menjadi punca keretakan rumahtangga. Hubungan suami isteri tidak mesra kerana sibuk dengan tugas masing-masing. Banyak pasangan suami isteri tinggal berjauhan kerana berlainan tempat kerja. 

Sekiranya disebabkan isteri bekerja menimbulkan keretakan rumahtangga, adalah wajar isteri berhenti kerja. Kebahagiaan rumahtangga perlu diutamakan. Ketaatan kepada suami adalah wajib selagi suami tidak melakukan sesuatu mendatangkan mudarat kepada isteri. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Andainya aku boleh menyuruh seseorang itu sujud kepada orang lain, nescaya aku suruh agar isteri itu sujud kepada suaminya.” - (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Wanita bekerja mesti bijak mengatur tugas sebagai isteri serta ibu dan kerjaya. Suami pula perlu menghargai kesediaan isteri menanggung sebahagian keperluan kewangan keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya. Tolak ansur dalam rumahtangga menjamin kebahagiaan berkekalan.

No comments:

Post a Comment