Tuesday, 28 August 2018

Sumpah iblis jadikan manusia musuh


Dalam diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan keburukan. Sebab itu, Allah menjanjikan balasan pahala dan dosa bagi setiap perbuatan manusia. Pahala diberikan apabila manusia melakukan kebaikan dan apa yang disuruh. Sebaliknya, dosa dikira apabila melakukan perkara ditegah.

Setiap Muslim melakukan kebaikan berdasarkan keimanan dan kepatuhan kepada perintah Allah. Bagi bukan Islam, kebaikan dilakukan berdasarkan naluri kemanusiaan dan kebiasaan kebaikan yang dilakukan dan dilihat dalam masyarakat.

Manakala keburukan dilakukan akibat desakan nafsu. Mengikut Kamus Dewan, nafsu bermaksud keinginan yang keras, kehendak hati yang kuat, kemahuan yang kuat atau dorongan hati untuk melakukan sesuatu yang melampau atau kurang baik.

Keburukan juga merupakan angkara hasutan syaitan. Syaitan menjadikan manusia sebagai musuh sejak mula-mula manusia diciptakan oleh Allah. Ia berpunca dendam dan irihati terhadap manusia. 

Syaitan enggan patuh kepada perintah Allah agar sujud kepada Adam (manusia). Syaitan membantah keputusan Allah ingin menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi kerana merasakan dirinya lebih layak disebabkan diciptakan oleh Allah daripada api, sedangkan manusia diciptakan daripada tanah lumpur.

Keengganan dan bantahan syaitan (iblis) diceritakan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Allah berfirman: Apakah yang menghalangmu untuk sujud kepada Adam di kala Aku menyuruhmu? Iblis menjawab: “Bukankah aku lebih mulia daripada dia (Adam). Aku diciptakan daripada api, sedangkan dia diciptakan daripada tanah.” - (Surah al-Araf, ayat 12).

Tindakan iblis itu menyebabkan ia dihalau keluar dari syurga dan mendapat kutukan Allah sehingga hari kiamat. Iblis menerima hukuman tersebut, tetapi memohon kepada Allah agar dipanjangkan usia sehingga ke hari kiamat dengan tujuan untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan perkara engkar perintah Allah.

Permohonan iblis diluluskan dan bermula saat itulah iblis yang mengetuai angkatan syaitan menjadi musuh manusia berkekalan. Syaitan ingin ‘menarik’ manusia agar bersama-sama mereka menghuni neraka di akhirat kelak. 

Allah memberi peringatan kepada manusia tentang niat syaitan itu. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu. Kerana itu hendaklah kamu memusuhinya. Syaitan hanya bermaksud mengajak golongan yang terpedaya agar sama-sama menjadi penghuni neraka.” - (Surah Fathir, ayat 6).

No comments:

Post a Comment