Kebanyakan pihak berkuasa bandar
atau pekan membina pelbagai replika sebagai tanda mercu tempat tersebut. Di
pekan Ketereh, Kelantan, buah gajus dipilih sebagai replika yang menjadi
kemegahan penduduk pekan tersebut.
Replika gajus menjadi perhatian
orang ramai yang melalui pekan Ketereh, terutama mereka yang kali pertama
sampai di situ. Tidak kurang juga yang menjadikan replika itu sebagai latar
belakang untuk mengambil gambar bukti mereka pernah sampai di situ.
Replika buah gajus tersebut
ditampatkan di Dataran Ketereh yang menjadi ‘land mark’ bagi pekan tersebut. Selain
replika buah gajus, di dataran tersebut juga terdapat menara jam, pintu gerbang
dan gubahan lampu dalam pelbagai bentuk.
Buah gajus dipilih kerana nama pekan
tersebut adalah ‘gajus’. Ketereh merupakan nama bagi buah gajus dalam sebutan
orang Kelantan. Oleh itu replika gajus merupakan pilihan paling tepat bagi
melambang pekan Ketereh.
Pekan Ketereh terletak kira-kira 17
km dari Kota Bharu di jalan utama Kota Bharu - Machang - Kuala Krai dan
seterusnya ke selatan. Ia terletak di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kota
Bharu yang bertanggungjawab bagi kawasan Kota Bharu Selatan.
Pekan Ketereh tidak ketinggalan mengikut
arus pembangunan negara. Penduduk Ketereh mendapat menikmati kemudahan asas
yang tersedia di pekan itu seperti pasar, kedai, bank, klinik, pejabat
kerajaan, balai bomba, pejabat badan berkanun, pejabat pos dan pelbagai
kemudahan lain.
Pekan Ketereh menjadi tumpuan orang
ramai kerana ia merupakan pekan terdekat bagi penduduk kawasan Kadok, Kok
Lanas, Kem Desa Pahlawan dan Bukit Merbau. Dengan adanya pelbagai kemudahan di
situ, penduduk tidak perlu ke Kota Bharu untuk urusan tertentu. Ini
menjimatkan masa, wang dan tenaga.
No comments:
Post a Comment