Bawang putih cukup dikenali kerana
tumbuhan itu banyak digunakan dalam kebanyakan jenis masakan yang menjadi
kegemaran ramai.
Selain berperanan menyedapkan
masakan dan melahirkan aroma yang menyelerakan, satu lagi fungsi bawang putih
ialah dari segi khasiatnya.
Bawang putih mempunyai pelbagai
khasiat yang penting dari segi perubatan dan kesihatan. Sebab itu, ada
sesetengah orang menjadikan amalan memakan sekurang-kurangnya seulas bawang
putih setiap hari.
Berdasarkan tulisan-tulisan purba
orang-orang Babylon, Greek, Roman dan Mesir, khasiat bawang putih telah
diketahui sejak 5,000 tahun Sebelum Masihi.
Bawang putih ataupun nama
sainstifiknya allium sativum linn adalah tanaman herba yang tumbuh berumpun dan
ketinggiannya mencapai sekitar 60 cm.
Bahagian bawah tumbuhan itu
berulas-ulas yang bergabung membentuk umbi besar berwarna putih. Sebab itu ia
dipanggil bawang putih.
Ulas-ulas itu jika dipotong
mengeluarkan bau sangat tajam mencucuk deria bau. Untuk mengelak bau itu dicadangkan
cara pemakanannya dengan merebus, digoreng atau dipanggang.
Bawang putih banyak ditanam di
China, Taiwan dan Korea. Di China bawang putih yang dikenali dengan nama 'suan'
bukan saja digunakan dalam masakan, bahkan dicampurkan dalam minuman teh. Tujuannya
adalah untuk terapi menurunkan panas badan dan antibiotik.
Bagi masyarakat Jepun menjadikan
amalan meminum jus bawang putih untuk mendapat khasiatnya. Amalan itu telah
dilakukan sejak turun temurun lagi.
Kajian pakar kesihatan dan pemakanan
telah mengesahkan tentang kehebatan khasiat bawang putih. Jadi, sekarang ini cerita mengenai khasiat bawang
putih tidak lagi sekadar tercatat dalam transkrip kuno, tetapi terbukti melalui
kajian moden menggunakan peralatan khusus.
Antara kandungan khsiat bawang putih
ialah vitamin A,B1, B2 dan C serta sulfur, mangan, zat besi dan kalsium. Bawang
putih juga mengandungi ramuan pengawalan kloesterol, antibiotik dan agen antipembekuan darah semula jadi.
Selain itu bawang putih turut kaya
dengan protin, tiamin dan galian-galian surih seperti kuprum, zink, potassium,
germanium dan selenium.
Umbi batang pada bawang putih
mengandungi kalsium yang bertindak sebagai pencegah hipertensi, saltivine boleh
mempeercepatkan pertumbuhan sel dan jaringan serta merangsangan susunan saraf,
diallysulfide sebagai ubat anti cacingan di samping mengandungi sedikit vitamin
A, B1 dan C.
Manfaat lain yang telah diakui pakar
ditemui dalam bawang putih ialah dapat memberi perlindungan daripada demam
selesema, penyakit penyakit seperti taifoid dan disenteri, serta meningkatkan
pengaliran air hempedu dalam hati.
Bawang putih juga boleh merawat
tuberkulosis, bronkitis dan gangguan pernafasan. Khasiat lain ialah mampu
merawat penyakit usus. Bawang putih juga digunakan dalam rawatan darah tinggi
dan pengerasan arteri.
Sebenarnya terlalu banyak khasiat
lain yang terdapat dalam bawang putih jika ingin disenaraikan di sini. Memadailah
jika dikatakan bawang putih adalah tumbuhan amat istimewa yang patut dimakan
untuk tujuan perubatan dan kesihatan.
Untuk memudahkan orang ramai
memperoleh khasiat bawang putih, sekarang ini terdapat produk kesihatan dalam
bentuk pil dan kapsul dijual di pasaran. Cara itu dapat mengelak bau yang tidak
menyenangkan bagi sesetengah orang dan boleh diambil bila-bila masa.
salam
ReplyDelete