Monday 14 January 2019

BUAH UBI LEKIR PILIHAN BURUNG MERBUK

Pokok lekir satu jenis tumbuhan yang tumbuh meliar di dalam semak, belukar mahupun hutan. Pokok lekir termasuk dalam spesis Amorphopallus. Terdapat lebih 80 spesis Amorphopallus di seluruh negara.

Sebab itu, pelbagai nama digunakan merujuk kepada pokok lekir yang mungkin sama atau berbeza mengikut tempat tertentu. Nama lain bagi pokok lekir ialah ubi sarek, ubi kekek dan ubi ular.

Buah pokok lekir menjadi pilihan makanan burung, terutama burung merbuk carut atau burung merbuk kong kang. Sebab itu, pemikat burung akan menggunakan buah lekir untuk diletakkan di dalam jebak burung ketika memikat burung.

Biarpun buah lekir menjadi kegemaran burung merbuk, tetapi untuk manusia ia tidak boleh dimakan disebabkan akan menimbulkan rasa gatal.

Pokok lekir merupakan sejenis tumbuhan yang berbatang lembut seperti batang keladi, daunnya pula berbentuk jejari. Ubinya besar bertekstur seperti isi keladi.

Pokok lekir didapati tumbuh liar di Malaysia. Di negara lain seperti di India, Indo-China, Filipina dan Thailand ia ditanam, namun bukan dalam skala besar. Ubi pokok lekir tidak sesuai dimakan kerana mengandungi kalsium oksalat yang boleh menyebabkan pening dan rasa loya. Namun itu boleh dijadikan makanan melalui penyediaan tertentu.

Pokok lekir adalah jenis pokok bermusim, biasanya ia akan tumbuh selepas musim hujan dan akan mati bila sampai masanya. Ia hidup subur di kawasan lembab dan redup. Ketinggian pokok lekir boleh mencapai sehingga 1.5 m. 

Daunnya berbentuk jejari di bahagian atas dan tidak gugur. Daunnya akan layu dan mati sekali dengan batangnya, membiarkan ubi membesar di bahagian dalam tanah.

No comments:

Post a Comment