Thursday, 21 February 2019

ADAB BERHUTANG AGAR MENDATANGKAN KEBAIKAN


Islam menetapkan peraturan berkaitan hutang agar ia memberi kebaikan kepada pemiutang (pemberi hutang) dan penghutang (menerima hutang) dan mengelak keburukan akibat urusan hutang itu. 

Di pihak penghutang, antara perkara yang mesti dipatuhi ialah:

Untuk tujuan kebaikan. Pinjaman itu dibuat untuk tujuan kebaikan. Jika sudah ada wang, maka tidak perlu berhutang biarpun ada pihak ingin memberi pinjaman. Dalam dunia moden, aktiviti hutang (kredit) dianggap satu perniagaan yang mana institusi pemberi hutang akan menawarkan hutang sebagai satu perkhidmatan.

Niat ingin menjelaskan. Perkara utama mesti ada dalam minda penghutang ialah niat hendak menjelaskan hutang itu. Niat itu akan membantu memudahkan urusan pembayaran hutang itu.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah SWT akan luluskan niatnya itu, tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar), maka Allah SWT akan membinasakan dia.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Tunaikan janji. Penghutang mesti berusaha melangsaikan pembayaran hutang mengikut perjanjian, dari segi jumlah dan tempoh. Perjanjian itu sebaik-baiknya dibuat secara bertulis dan ada saksi bagi mengelak pertikaian berkaitannya kemudian.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Tunaikan amanah itu kepada orang yang telah memberikan amanah kepadamu dan janganlah engkau mengkhianati janji walaupun kepada orang yang pernah memungkiri janji kepadamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Wajib membayar hutang. Setiap hutang wajib dibayar biarpun tidak dituntut. Sesiapa yang sengaja tidak membayar hutang, termasuk kepada institusi kewangan dan badan kerajaan, adalah antara dosa besar yang tidak tertebus biarpun dengan pahala mati syahid.

Membayar hutang adalah perkara penting yang mesti dilakukan melebihi keperluan lain.  Ini bagi mengelak tidak sempat menjelaskan hutang sebelum meninggal dunia. Sesungguhnya, seseorang yang meninggal dunia ketika masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehinggalah dijelaskan hutang itu.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Jiwa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya (iaitu dia belum dihukum, sama ada kebaikannya atau kejahatannya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya" (Hadis riwayat Muslim)

Sebab itu, orang beriman sentiasa mengutamakan usaha untuk membayar apa-apa hutang yang belum dijelaskan bagi terhindar daripada segala kemurkaan Allah SWT dan balasan buruk di akhirat.

Boleh membayar lebih. Penghutang dibolehkan menyerahkan kembali hutang melebihi apa yang diperoleh dulu, asalkan ia bukan disebabkan diminta oleh pemiutang. Pembayaran yang lebih itu sebagai tanda bersyukur di atas bantuan dihulurkan oleh pemiutang.  

Ada satu kisah dialami Rasulullah berkaitan membayar hutang lebih baik daripada apa yang dihutang. Daripada Abu Hurairah, katanya: “Seorang lelaki memberi hutang kepada Rasulullah, lalu ditagihnya secara kasar. Oleh sebab itu sahabat yang bersama Rasulullah pada ketika itu tidak menyenangi tindakan orang itu.

Maka Rasulullah bersabda: “Orang yang memberi hutang berhak menagih. Belikan dia seekor unta muda kemudian berikan kepadanya!” Lalu berkata sahabat: “Tidak ada unta muda yang Rasulullah! Yang ada hanya unta dewasa dan lebih bagus daripada untanya.”

Selanjutnya baginda bersabda: “Belilah, kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang.” - (Hadis riwayat Muslim)

Harta pusaka penghutang. Harta pusaka penghutang yang meninggal dunia sebelum sempat menjelaskan hutangnya mestilah digunakan untuk menjelaskan hutang-hutang itu. Waris tidak berhak ke atas harta pusaka itu melainkan baki selepas ditolak membayar hutang simati.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat 11 yang bermaksud: “(Pembahagian pusaka) sesudah dipenuhi wasiat yang dia buat atau sesudah dibayar hutangnya.”

Di sebelah pemiutang pula perlu mematuhi syarat berikut:

Memberi hutang sebagai membantu. Individu yang berkemampuan memberi hutang harus melakukan jika ada individu lain yang memerlukan hutang itu untuk tujuan kebaikan. 

Rasulullah bersabda lagi bermaksud: "Allah SWT akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya"- (Hadis riwayat Muslim)

Wajib memberi hutang. Dalam keadaan yang melibatkan perkara darurat yang mana dengan cara itu saja dapat mengelak berlaku perkara buruk terhadap penghutang atau perkara yang berkaitan dengan tujuan berhutang itu, orang yang mampu wajib memberi hutang yang diperlukan itu. 

Memberi pinjaman satu amalan baik bersesuaian dengan kehendak Allah seperti yang tercatat di dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya".

Haram memberi hutang. Jika diketahui penghutang ingin menggunakan apa yang dihutang itu untuk tujuan yang diharamkan seperti untuk berjudi, membeli arak dan melakukan maksiat, maka haram diberikan sebagai hutang. Pemiutang akan bersubahat terhadap dosa-dosa yang dilakukan penghutang yang dilakukan hasil hutang itu.  

Minta hutang dijelaskan. Pemiutang boleh meminta kembali hutang yang diberikan apabila cukup tempoh yang dijanjikan. 

Memberi tangguh atau menghalalkan. Dalam kes di mana penghutang tidak mampu menjelaskan hutang itu, pemiutang wajar memberi tangguh atau menjadikan hutang itu sebagai sedekah yang mendatangkan kebaikan kepada pemiutang dan penghutang.

Dalam Surah al-Baqarah ayat 280 Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesusahan, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan bersedekah (sebahagian atau semua) itu lebih baik bagimu sekiranya kamu mengetahui".

Minta jumlah menyamai apa yang diberikan. Pemiutang hanya berhak meminta kembali hutang mengikut jumlah yang diberikan. Jika meminta melebihi jumlah itu, maka ia termasuk dalam riba. Amalan melibatkan riba menghilangkan keberkatan amalan dan pelakunya menanggung dosa besar memakan atau menggunakan manfaat hasil riba.

Bertuahlah sesiapa yang bebas daripada beban hutang yang mana dirinya beroleh ketenangan hati dan tidak dibebankan dengan satu tanggungjawab yang berat perlu dijelaskan. Berbelanja secara berhemah dan hanya kepada perkara yang penting saja dapat mengelak diri daripada terjebak masalah hutang.

No comments:

Post a Comment