Peluang pekerjaan masih banyak untuk siswazah. Sebagai contohnya, lulusan bidang perakaunan sepatutnya tidak
menganggur. Negara masih memerlukan berpuluh ribu lulusan perakaunan untuk
memegang jawatan akauntant, auditor, eksekutif syarikat dan pengurus.
Tetapi, mengapakah lulusan tersebut
tersenarai antara jurusan paling ramai menganggur? Jawapannya mudah. Kebanyakan
syarikat, dan firma perakaunan mementingkan pengalaman untuk mengambil pekerja
baru.
Jawatan berkaitan perakaunan dan
pengurusan kos amat penting. Kemampuan akauntant menentukan kejayaan syarikat.
Jadi, pengalaman kerja amat penting. Untuk mendapat pengalaman, lulusan
perakaunan perlu bekerja dari bawah. Bekerja dahulu di firman perakaunan dan
audit sebagai pembantu.
Sebenarnya boleh dikatakan semua
bidang kerjaya profesional tidak terus memberi gaji yang tinggi kepada pekerja
baru. Mereka profesional, jadi perlulah terlebih dahulu membuktikan kemampuan.
Piawaian profesional amat tinggi.
Untuk memperoleh kemahiran, mereka
perlu melalui latihan di lapangan sebelum disahkan jawatan. Gaji permulaan yang
ditawarkan juga reletif rendah. Malah, dalam kes tertentu mereka terpaksa
mengambil peperiksaan disediakan badan khas.
Keadaan inilah dianggap membebankan
oleh kebanyakan siswazah. Sebab itu, awal-awal lagi mereka tidak mahu menyertai
kerjaya profesional. Mereka menjadi golongan elit di universiti mengikuti
kursus bertaraf profesional, tetapi minda mereka masih di tahap amatur.
Disebabkan tidak mampu menghadapi cabaran
kerjaya di sektor swasta, ramai mengharapkan menyertai sektor kerajaan. Tetapi,
seperti semua sedia maklum, bilangan jawatan di sektor kerajaan amat terhad.
Dalam jabatan tertentu, di setiap negeri hanya ada satu jawatan untuk pemegang
ijazah.
Justeru, siswazah perlu keluar dari
zon terlalu memilih pekerjaan. Bidang insurans, jualan langsung, perniagaan,
pertanian, perikanan dan sebagainya membuka seluas-luasnya peluang pekerjaan
kepada siswazah.
Bidang berkenaan memberi pendapatan
lumayan bukan sahaja berkali ganda, bahkan berpuluh-puluh kali ganda berbanding
di sektor kerajaan.
Umpamanya, pendapatan menyertai bidang
insurans dan jualan langsung dalam tempoh beberapa tahun boleh mencapai
pendapatan seorang pengarah agensi kerajaan yang hanya mampu dicapai pegawai
kerajaan yang telah hampir sampai tempoh pencen.
Apa yang penting ialah kesanggupan
bekerja dan membuktikan kemampuan dalam akademik seiring dengan kemampuan
sebenar dalam kerjaya. Masalah pengangguran siswazah tidak akan timbul jika semua
siswazah tidak hanya tertumpu kepada sektor kerajaan dan swasta yang
menjanjikan pendapatan tetap.
No comments:
Post a Comment