Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang yang diberikan
Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta berkata, "Cukuplah Allah bagi
kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya, dan
demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada
Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka)." (Surah
at-Taubah ayat 59)
Sheikh Al-Maraghy ketika menafsirkan ayat itu
membuat rumusan Mukmin wajib reda dan berasa puas terhadap usaha mereka dan
segala yang diperolehnya dengan cara benar seperti sedekah dengan menghadapkan
hati kepada Allah SWT. Hendaklah dia berharap hanya kepada Tuhan sahaja untuk
memperoleh keinginannya yang berada di luar usaha dan hak syarie.
Dr Yusuf Qaradawi menyatakan seorang Islam
harus reda terhadap diri sendiri dan Tuhannya, alam dan hidup, takdir serta
rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
Reda secara umumnya, sifat lapang hati ketika
menerima ketentuan Allah dengan bersangka baik terhadap segala aturan-Nya
sekalipun bertentangan dengan kehendak dan keinginan.
Dalam al-Quran disebut tidak kurang 70 kali
perkataan mengandungi maksud reda. Pada umumnya, ia berkait dengan masalah
iman, amal soleh, kebajikan dan nilai utama yang lainnya. Malah sumber reda itu
ialah iman sehingga semakin kuat dan tebal iman seseorang, semakin mantap reda
bersemi dalam jiwanya.
Dalam kehidupan Muslim, sikap reda adalah tahap
terakhir harus diterima setelah terlebih dahulu berusaha dengan segala
kemampuan. Kalau seseorang menghadapi masalah yang perlu memilih antara dua
alternatif yang sama kuat, hendaklah dia berhubungan dengan Allah SWT dengan
melakukan solat istikharah supaya dicondongkan hatinya memilih yang lebih baik.
Kalau pilihan atau keputusan itu sudah ada,
meskipun buruk dan tidak sesuai dengan harapan, dia tetap menerima ketentuan
dengan sikap reda.
Apa kita rancangkan kadang-kadang tidak
berjalan seperti kita harapkan, lantas kita bertanya kepada diri di manakah
silapnya? Namun, apabila kita tidak menemui puncanya kerana kita merasakan
perancangan cukup sempurna, sebenarnya kita terlupa ada perancang lebih besar,
iaitu Allah.
Ingatlah apabila ditimpa masalah ataupun apa
yang diharapkan tidak berjalan seperti diimpikan, jangan mudah mengeluh ataupun
bersedih kerana kita tidak tahu apa yang Allah rancangkan dan percayalah kalau
kita rasakan masalah itu besar, maka pujuklah hati suatu ketika masalah ini
akan hilang dan sinar kebahagiaan akan muncul walaupun tidak mengetahui
waktunya.
Di sinilah terletak kebahagiaan Muslim
seperti dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan Al-Bazar bermaksud:
"Kebahagiaan manusia ialah memohon pilihan kepada Tuhannya dan bersikap
reda terhadap ketentuan (qada). Tanda daripada kecelakaan manusia ialah
meninggalkan usaha istikharah (memohon pilihan) dan tidak reda terhadap
ketentuan diterimanya."
Dalam usaha mengharungi kehidupan, kita harus
berasa senang menerima ketentuan Allah. Ketentuan itu umumnya disebut takdir
pada asasnya membabitkan dua perkara.
Pertama berupa nikmat yang pasti akan
diterima manusia dengan perasaan senang dan dengan penuh kegembiraan serta
kedua, bencana yang datang pelbagai bentuk.
No comments:
Post a Comment