Sunday, 10 March 2019

MUSIM MENYAUK UDANG BARING

Penduduk tinggal berhampiran pantai menanti ketibaan musim udang baring atau dipanggil juga udang geragau. Udang baring berukuran kecil.

Pada musim itu mereka berpeluang menambah pendapatan mahupun sekadar mendapatkan udang baring untuk kegunaan sendiri.

Musim udang baring biasanya pada penghujung musim Bayu Timur Laut iaitu sekitar bulan Febuari hingga April (bagi negeri di Pantai Timur). Udang baring akan bermain di tepi pantai dalam jumlah yang banyak ketika air tenang di kawasan pantai landai.

Untuk menangkap udang baring menggunakan sauk atau pukat mata kecil. Bentuk sauk macam-mcam jenis. Biasanya menggunakan dua batang buluh yang diikatkan dengan pukat.

Bagi nelayan atau penduduk tepi pantai, kebanyakan mereka ada sauk. Namun, bagi mereka bukan anak pantai yang tidak ingin melepaskan peluang menangkap udang baring, apa sahaja yang boleh digunakan untuk menyauk akan digunakan. Ini termasuklah kelambu (seperti gambar di atas)! Apa yang penting, sauk itu boleh memerangkap udang baring apabila diangkat.

Pada musim udang baring, kawasan pantai menjadi meriah dengan gelagat pengunjung menyauk udang baring. Kepada mereka yang datang bersama-sama dengan anak kecil dinasihatkan agar tidak leka mengawasi anak masing-masing.

Udang baring mengandungi kandungan protein yang tinggi. Di Melaka, udang baring amat popular kerana ia bahan utama dalam pembuatan cencaluk dan belacan.

No comments:

Post a Comment