Friday 26 July 2019

GOLONGAN MENYESAL DI AKHIRAT NANTI

Kisah golongan yang menyesal di akhirat dirakamkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu) wahai Tuhan kami!  Keluarkanlah kami (dari azab siksa ini). Kami akan mengerjakan amal soleh, yang lain daripada apa pernah kami lakukan. (Lalu mereka ditempelak): Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan kamu masa yang cukup untuk berfikir dan beringat kepada-Nya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat.” - (Surah Fathir, ayat 37).

Barangsiapa terlanjur melakukan kejahatan sebelum ini, masih ada peluang untuk bertaubat. Allah Maha Pengampun menerima taubat sesiapa saja yang bersungguh-sungguh memohon keampunan daripada-Nya.

Justeru, sentiasalah bertaubat agar diri sentiasa dibersihkan daripada dosa.  Namun, taubat diterima ada batasan waktunya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya selagi nyawa belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut).” - (Hadis riwayat Tarmizi).

Ketika masa masih belum terlambat, segeralah bertaubat. Sesungguhnya tiada siapa yang tidak pernah melakukan dosa. Peluang taubat terbuka kepada sesiapa juga biarpun besar mana dosa yang telah dilakukan.

Allah memberi jaminan akan menerima taubat setiap hamba-Nya yang benar-benar memohon taubat. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (kepada manusia): “Wahai hamba-Ku yang telah merasa berdosa atas diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah dapat memberi ampun-Nya terhadap dosa seluruhnya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun dan Pengasih.” - (Surah az-Zumar, ayat 53).

Sesiapa enggan bertaubat, dialah orang menzalimi diri sendiri. Firman Allah bermaksud: “Dan barang siapa yang tidak mahu bertaubat, mereka itulah orang zalim.” - (Surah al-Hujurat, ayat 11).

Bagaimanapun, Allah tidak mengampun dosa syirik, melainkan orang itu kembali mengucap kembali kalimah tauhid sebagai mengakui “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya.”

Bersedialah menghadapi kematian dengan bekal secukupnya. Bekalan terbaik ialah takwa sebagaimana dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-beik bekal ialah takwa (yakni mematuhi perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya) dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya.” - (Surah al-Baqarah, ayat 197).

Jauhi sikap tamak kesenenagan dunia sehingga melupai detik kematian yang semakin hampir. Rebutlah peluang melakukan kebaikan ketika nyawa masih di badan. Cintai kematian kerana ia menghampirkan diri kepada Allah. Sedangkan mencintai dunia menjadikan diri semakin jauh daripada Allah.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Hari kiamt telah hampir dan manusia masih lagi bertambah tamak kepada dunia dan bertambah jauh daripada Allah.”  - (Hadis riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim).

No comments:

Post a Comment