Friday 26 July 2019

TUJUAN MENGINGATI KEMATIAN


Islam menggalakkan agar selalu mengingati kematian, bertujuan menyedarkan seorang tentang usia dihabiskan adakah sebagai hamba bertakwa atau sebaliknya. Sesungguhnya saat kematian tidak mengenal usia. 
 
Kematian tidak hanya datang apabila usia sudah tua atau mengidap penyakit berbahaya. Sebaliknya, kematian boleh berlaku bila-bila masa tanpa mengira usia, tidak kira bayi dalam kandungan, kanak-kanak, remaja dan tambah-tambah lagi orang tua.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang telah ditetapkan), maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepoatkannya.” (Surah al-Araf, ayat 34).

Memandangkan kematian itu pasti, tidak siapa dapat mengelak daripada menghadapinya. Tidak ada teknologi, ilmu atau kuasa lain yang dapat mengelak daripada saat kematian, biarpun berada di mana sekalipun.

Usaha manusia mencipta teknologi proses beku yang baru diperkenalkan bagi melanjutkan usia manusia (manusia dikomakan dan kemudian disedarkan kembali pada masa akan datang) tidak akan mengelak daripada kematian kemudiannya.

Allah menjelaskan dalam surah an-Nisa, ayat 78 tentang tidak ada siapa dapat melepaskan diri daripada maut bermaksud: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila tiba ajalnya), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.”

Membincangkan soal kematian bukan bertujuan menakut-nakutkan atau menimbulkan kesan negatif. Rasulullah menyifatkan orang yang selalu mengingati mati sebagai manusia paling bijaksana.

Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud: “Orang yang paling bijaksana ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang paling rugi ialah orang yang terikut-ikut pujukan hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.”

Sesungguhnya dengan mengingati kematian, manusia akan sedar ke mana akhir hidupnya ini. Dunia ini tidak didiami untuk tempoh masa lama, melainkan lebih kurang dengan sanak saudara, rakan orang yang lain yang telah meninggal dunia.

Sebaliknya, matlamat kehidupan ialah di alam akhirat yang kekal. Kehidupan di sana ditentukan sepenuhnya apa yang dilakukan di dunia. Setiap apa dilakukan akan mendapat pembalasan setimpal tanpa dilebihkan atau dikurangkan.

Firman Allah bermaksud: “Siapa melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi pembalasan. Dan barang siapa melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga tetap akan diberi pembalasan.” - (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8).

Setiap apa diusahakan oleh manusia di dunia ini tetap diberikan pembalasan.  Oleh itu, sekiranya apa kebaikan dilakukan jika tidak mendatangkan keuntungan di dunia, bersedialah menerima pembalasan lebih berharga di akhirat nanti. Allah tidak menghampakan harapan orang melakukan kebaikan kerana-Nya.

Dalam surah al-Insyiqaq, ayat 6 bermaksud: “Wahai manusia!  Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (ketika engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa engkau usahakan itu (tercatat semuanya).”

Bagi hamba yang melaksanakan tugas seperti mana diarahkan dan meninggalkan segala apa yang dilarang, maka balasan di akhirat nanti merupakan syurga, tempat yang tiada tandingan nikmatnya.

Firman Allah bermaksud: “Perumpamaan syurga yang dijadikan kepada orang-orang yang takut kepada Allah, di dalamnya mengalir sungai-sungai, buah-buahnya tetap dan (juga) naungan-Nya. Itulah kesudahannya orang-orang bertakwa kepada Allah, manakala kesudahan orang-orang kafir (ingkar) pula ialah neraka.” - (Surah ar-Raad, ayat 35).

Golongan yang dicampakkan ke dalam neraka merayu kepada Allah agar mereka dikembalikan ke dunia bagi membolehkan mereka mengerjakan amal kebajikan bagi melayakkan dimasukkan kepada syurga.

Permintaan tersebut sudah terlambat kerana umur diberikan di dunia telah memadai untuk mereka melakukan kebajikan. Umur yang panjang di dunia telah digunakan kepada keburukan dan rasakan balasanya.

No comments:

Post a Comment