Wednesday, 31 July 2019

POKOK GAJUS DIPANGGIL KETEREH

Pokok buah gajus ada banyak nama. Ada dipanggil janggus, jambu golok, jambu monyet, bunga kesasar dan jambu terung. Di Kelantan, buah gajus dipanggil buah ketereh atau tere. Sebuah pekan di Kelantan dinamakan Ketereh.

Apapun nama pokok gajus, nama saintifiknya ialah Anacardium occidentale dan ia tergolong dalam keluarga Anacardiaceae. Pokok ini berasal dari negara Brazil. Pokok ketereh rimbun disebabkan dahan tidak tegak meninggi.

Terdapat 3 bahagian gajus yang menjadi tujuan penanamannya. Pertamanya, pucuk gajus mendapat permintaan tinggi sebagai ulam. 
 
Pucuk muda gajus berwarna merah boleh dimakan mentah dicecah bersama sambal belacan, budu, cencaluk, sambal atau pencicih lain. Rasanya lemak-lemak kelat.

Keduanya ialah buah atau isi gajus yang boleh dimakan mentah mahupun dibuat sayur.

Buah gajus lembut dan banyak mempunyai air. Rasanya kelat manis. Warna buah gajus kebanyakan kuning apabila masak, tetapi ada juga berwarna merah.

Manakala hasil gajus yang paling menjadikan tujuan utama penanaman ialah biji gajus atau dipanggil juga kacang biji jagus.

Terdapat petani di luar negara menanam gajus semata-mata untuk tujuan penghasilan biji gajus dan menjadi bahan eksport.

Biji buah gajus yang digoreng atau dipanggang adalah sejenis makanan ringan yang boleh didapati di pasaran. Ia juga boleh digunakan sebagai hidangan masakan dan kuih.

Biji gajus boleh dianggap satu-satunya biji buah yang berada di luar buah. Kedudukan biji gajus di bahagian bawah berbentuk seperti buah pinggang yang juga seakan-akan ulu golok menyebabkan mengapa ia dikenali nama jambu golok.

Biji gajus mempunyai kulit yang keras dan benih di dalamnya mempunyai rasa lemak seperti kacang. Bijinya mempunyai getah bisa yang boleh mengakibatkan kudis.

Bijinya perlu diproses dengan digoreng dengan pasir, supaya tidak hangus, sebelum dimakan.
 


No comments:

Post a Comment