Wednesday, 2 October 2019

TIADA TOLAK ANSUR LAKSANA RAHMATAN LIL ALAMIN


Konsep rahmatan lil alamin dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam. Islam adalah agama membawa rahmat kepada seluruh manusia. Setiap perkara yang dilakukan bukan sahaja untuk kebaikan penganut agama Islam, bahkan kepada seluruh manusia dan alam ini. 

Namun demikian, konsep ini tidak boleh diterjemahkan secara umum sehingga melanggar perintah agama. Perkara dan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran yang dituntut Islam jika ditoleransi; akan meruntuhkan benteng agama.

Justeru, dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah SWT.

Perbuatan yang bercanggah dengan tuntutan agama tidak harus diberi toleransi.

Hukum hakam agama tidak seharusnya diketepikan dalam usaha menyemai toleransi dan kasih sayang sesama masyarakat.

Islam telah menjelaskan secara terbaik perlu difahami umat Islam untuk berurusan sesama saudara seagama serta yang bukan Islam.

Islam sejak awal sudah membuat penegasan mengenai hubungan dengan penganut agama lain. Firman Allah SWT: “Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku.” (Surah Al-Kafirun, ayat 6)

Justeru, perihal agama tidak boleh ada tawar-menawar kerana umat Islam mengakui dan meyakininya sebagai agama benar tetapi menerima hakikat pemberian hidayah dan kesesatan itu milik Allah SWT.

Islam perlu berkuasa menentukan apa yang boleh dan tidak, bukannya mengikut kehendak lain dalam hal-hal yang melemahkan kedudukan Islam. 

No comments:

Post a Comment