Saturday 22 October 2016

Perkahwinan ikatan halal

Perkahwinan dituntut Islam sebagai ikatan halal membolehkan lelaki dan perempuan menjalani kehidupan mengikut keinginan dan keperluan mereka. Melalui perkahwinan lelaki dan perempuan akan mengecapi nikmat hidup lebih bermakna. Secara tabie, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks.

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang.” – (Surah ar-Rum ayat 21).

Institusi perkahwinan membentuk sebuah keluarga, mengandungi suami dan isteri, kemudian kelahiran anak-anak. Rasulullah gembira dan menggalakkan umatnya berkahwin serta mempunyai anak. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Berkahwinlah kamu dan mempunyai anak melaluinya, sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai di akhirat nanti.”

Justeru, Baginda menganggap mereka yang sengaja tidak mahu berkahwin tanpa alasan syarie sebagai bukan di kalangan umatnya.  

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukan di kalangan umatku mereka mereka yang tidak ingin berkahwin.”. 

Ini bermakna umat Islam ‘wajib’ berkahwin agar tergolong sebagai umat Rasulullah di akhirat. Umat Rasulullah mempunyai banyak kelebihan di akhirat berbanding umat-umat nabi lain. Antara kelebihan umat Rasulullah ialah awal dihisab sebelum umat lain. Selain itu syafaat Rasulullah amat besar maknanya. 

Bagainda pernah melahirkan rasa sedih apabila mengetahui seorang sahabat meninggal dunia ketika masih bujang. Sahabat itu dikatakan mendapat kurang martabatnya di sisi Allah, biarpun semasa hayatnya dia tergolong mereka yang kuat beribadat dan taat kepada perintah Allah dan Rasulullah.

Sebagai memperakui kepentingan berkahwin, balasan kebaikan bagi mereka berkahwin digandakan dan tambah dengan rahmat Allah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seorang isteri mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga dari sebarang pintu yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

No comments:

Post a Comment