Thursday 13 October 2016

Tidak daftar SPR punca hilang kuasa

Mengundi hak semua individu mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang sah dan mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah usia mencapai 21 tahun sebagai pemilih bagi melayakkan mereka dibenarkan menjadi pemilih dalam mana-mana pilihanraya yang diadakan oleh SPR mengikut kawasan di mana seseorang itu didaftarkan. 

Hak mengundi memberi peluang kepada rakyat untuk mencorakkan bentuk pemerintahan negara ini dalam tempoh setiap lima tahun.

Meskipun satu undi, ia boleh membawa kesan yang besar terhadap hasil undian. Mungkin dengan satu undian itulah, keputusan pengundian di sesuatu kawasan ditentukan.

Tiada gunanya mengulas bermacam-macam perkara tentang politik negara dalam media sosial berkaitan situasi politik negara tapi kesudahannya tidak keluar mengundi. Apa yang diperjuangkan perlu diterjemahkan di atas kertas undi.

Malang sekali ramai orang yang layak mendaftar sebagai pengundi tidak tidak berdaftar sebagai pengundi. Majoriti yang tidak mendaftar sebagai pemilih adalah Melayu.

Antara alasan mereka ialah undian mereka tidak mampu mempengaruhi dasar-dasar kerajaan dan masa depan negara, tiada masa untuk mengundi, tidak berminat, malas, tidak penting, malah ada yang mengatakan tidak tahu di mana hendak mengundi!

Pelbagai kaedah telah disediakan oleh kerajaan melalui badan SPR untuk memudahkan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi atau pemilih.

Pendaftaran boleh dilakukan dengan mengunjungi ibu pejabat SPR, pejabat-pejabat pilihan raya negeri dan pejabat Pos berkomputer, selain melalui pendaftaran bergerak seperti Out-Reach Team SPR, penolong pendaftar parti politik atau penolong pendaftar di semua pejabat kerajaan yang dilantik oleh SPR.

Pemohon cuma perlu mengisi Borang A berdasarkan maklumat yang terdapat dalam kad pengenalan, resit JPN KPPK 9 atau Resit JPN KPPK 11 yang telah disahkan butirannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Rakyat yang layak mendaftar sebagai pengundi disyaratkan mestilah warganegara Malaysia, sudah mencapai umur 21 tahun pada hari pengundian, menetap di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia dan tidak dihalang atau hilang kelayakan oleh undang-undang.

Rakyat sepatutnya menggunakan sepenuhnya peluang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara untuk menentukan kepimpinan negara. Orang Melayu perlu sedar bahawa satu-satunya yang masih dimiliki ialah kuasa. Jika Melayu tidak mendaftr sebagai pengundi, Melayu boleh hilang kuasa.

Malang sekali belia Melayu hanya jaguh berdemostrasi dan membantah itu dan ini. Sedangkan mereka sendiri tidak menggunakan hak yang lebih utama dan besar ialah daftar sebagai pengundi dan seterusnya menentukan hala tuju kepimpinan negara melalui peti undi.

No comments:

Post a Comment