Thursday 20 October 2016

Suami dayus isteri dizina lelaki lain

Dayus suami merelakan isterinya untuk lelaki lain. Suami dayus terhalang memasuki syurga. Maruah isteri perlu dipertahan dan dilindungi sebaiknya tanpa kompromi. Suami membenarkan isteri berpakaian mendedahkan aurat boleh dianggap merelakan isterinya dizina lelaki lain.

Lelaki mudah ghairah melihat wanita mendedahkan aurat dan terdorong untuk melakukan perbuatan seks. Situasi itu memberi imaginasi dan usaha untuk menggoda wanita mendedahkan aurat itu. Usaha itu tidak sukar memandangkan wanita berkenaan juga mempunyai minat untuk menggoda dan menarik perhatian lelaki terhadap dirinya.

Suami merelakan isteri berpakaian mendedahkan aurat sepertilah dia membenarkan isterinya untuk lelaki lain. Jika suami telah merelakan perbuatan itu 'dinikmati' secara mata, tidak mustahil isteri melakukan tindakan lebih berani, termasuklah membenarkan dirinya untuk dinikmati secara fizikal untuk kepuasan batin.

Rasulullah SAW memberi gambaran seksaan wanita yang membawa masuk lelaki bukan kalangan anak dan suami mereka.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Kemudian aku melihat beberapa wanita yang digantung dengan payu dara mereka. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah wanita yang membawa masuk lelaki yang bukan daripada kalangan anak, suami mereka (bukan mahram).” (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)

Ibnu Ishak berkata: “Jaafar bin ‘Amru berkata kepadaku dari Qasim bin Muhammad bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah terlalu murka terhadap wanita yang membawa masuk ke atas ‘kaum’ (rumah tangga suami), lelaki yang bukan daripada kalangan mereka, kemudian dia memakan harta dan melihat aurat mereka.”

Sesungguhnya hendaklah kita sentiasa peka kepada keadaan yang boleh mendorong kepada perkara buruk. Jangan sekali-kali memandang ringan kepada perbuatan yang dekatkan diri kepada kejahatan. 

Pesan orang tua, ‘jika ingin melakukan sesuatu yang tidak baik, jangan fikir sekali saja, sebaliknya fikir dan perhalusilah ia berulang-ulang kali walaupun sehingga 1000 kali.;

Biarlah kita mengambil masa panjang untuk menentukan sesuatu perkara perlu dilakukan atau tidak, lebih-lebih lagi perbuatan yang nama pada luarnya baik, menguntungkan dan mengembirakan, tetapi di sebaliknya ada kesan buruk yang tersenbunyi.

Ingatlah, perbuatan buruk biarpun tidak dilihat oleh orang lain, hakikatnya Allah SWT tetap mengetahuinya dan perbuatan itu pasti memberi kesan buruk kepada diri sendiri atau orang lain.

No comments:

Post a Comment