Friday 21 October 2016

Kenapa berebut hendak jadi pemimpin

Tugas pemimpin bukan mudah. Setiap pemimpin bakal dihisab di akhirat dan menerima balasan setimpal. Jadi, mengapa banyak orang sanggup berebut dan melakukan pelbagai usaha untuk jadi pemimpin. Malah ada yang melakukan perbuatan ditegah seperti rasuah, menipu, bodek dan memaksa agar dipilih sebagai pemimpin. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya mengenai kepimpinannya." (Hadis riwayat Muslim).

Justeru, sesiapa berhasrat menjadi pemimpin mesti menerima hakikat terpaksa berdepan tugas yang berat. Jika dirasakan tidak mampu, elok jawatan itu diserahkan kepada orang lain yang lebih layak.

Tindakan itu dapat mengelak daripada berlaku 'kezaliman' terhadap rakyat yang mengharapkan sumbangan terbaik daripada pemimpin. 

Ironinya, hari ini ramai orang yang ghairah untuk menjadi pemimpin tanpa melihat dan mengukur kelayakan diri sendiri. Biarpun sepanjang tempoh kepimpinannya banyak kegagalan berbanding kebaikan dilakukan, tetapi masih ingin terus menjadi pemimpin.   

Peristiwa perlantikan Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah Bani Ummaiyah menggantikan Khalifah Sulaiman Abdul Malik perlu dijadikan iktibar.

Umar terkejut apabila wasiat menyebut dirinya sebagai pengganti khalifah, lalu berkata: “Demi Allah! Ini sama sekali bukanlah permintaanku, sama ada secara rahsia mahu pun terang-terang.”  Lalu dia menaiki mimbar dan berucap kepada hadirin.

Katanya: “Wahai manusia! Sesungguhnya aku dibebani tugas ini tanpa diminta pendapatku terlebih dahulu. Ini bukan juga atas permintaanku sendiri dan tidak pula berdasarkan musyawarah kaum Muslimin. Sesungguhnya aku kini membebaskan saudara sekalian daripada baiah (ikrar ketaatan) yang terletak di atas bahu saudara semua terhadap diriku. Pilihlah sesiapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas.”

Umar tidak terus bersetuju menerima wasiat melantiknya menjadi khalifah. Sebaliknya meminta agar diadakan pemilihan secara terbuka. Dia bersetuju menjadi khalifah hanya setelah tidak ada percalonan lain dan pemilihannya dibuat sebulat suara.

Selepas itu beliau terus berpidato yang antara lain katanya: “Taatlah kamu kepadaku selagi aku taat kepada Allah. Jika aku menderhakai Allah, maka kamu tidak lagi harus mentaatiku. Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku sendiri dan untuk saudara sekalian.”

Pemerintahan Khalifah Umar hanya selama 30 bulan. Namun, dalam tempoh masa singkat itu beliau mampu membangunkan negara hingga tidak ada golongan miskin. Rakyat menikmati kehidupan dalam keadaan aman dan sejahtera. 

Ingatlah, semakin lama seseorang itu menjadi pemimpin, semakin banyak persoalan perlu dijawab di padang masyar nanti.  

Ambil peluang yang ada untuk muhasabah diri adakah telah berjaya melaksanakan tugas atau sebaliknya. Jika dirasakan lebih banyak kegagalan, maka eloklah cepat-cepat berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada orang lain. Cara itu bukan saja tidak menzalim rakyat, tetapi juga tidak menzalimkan diri sendiri. 

Sesungguhnya jawatan sebagai pemimpin satu amanah yang besar. Jadi janganlah khianati amanah itu.

Firman Allah swt, Al Anfaal: 27. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah swt dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

No comments:

Post a Comment