Friday 20 January 2017

Ketetapan hukum kaedah Sad al-Zariah bertujuan sekat atau halang

Sad al-zariah adalah sebahagian sumber hukum yang diterima pakai dalam Islam. Pun begitu, Sad al-zariah termasuk dalam kategori sumber hukum yang diperselisihkan. Sad al-zariah berasal dari perkataan sad dan al-zariah. 

Dari segi bahasa, sad memberi maksud sekat atau halang. Manakala al-zariah bermaksud jalan. 

Dari segi istilah mengikut al-Qarrafi, sad al-zariah ialah menghentikan jalan-jalan yang pada kebiasaannya menuju kerosakan. Perkara ini dapat difahami antara lain berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Anam, ayat 108 yang bermaksud: “Allah melarang mencaci tuhan-tuhan orang kafir supaya mereka tidak mencaci Allah.”

Dengan kata lain, segala perbuatan yang boleh membawa ke arah mafsadah atau kerosakan, maka ia ditegah dalam Islam. 

Ulama telah membahagikan mafsadah kepada beberapa kategori atau tahap. 

Tahap pertama ialah apa yang ditegah nyata membawa keburukan mutlak kepada masyarakat, contohnya larangan merosakkan harta benda orang lain atau awam. 

Dalam amalan di Malaysia, kerajaan melarang dilakukan pembalakan haram kerana ia mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar kerana boleh merugikan dan mendatangkan mudarat seperti kesan kekurangan bekalan air apabila hutan yang menjadi tapak tadahan hujan dirosakkan.  

Tahap kedua ialah perbuatan haram dilakukan untuk mendapat maksud yang harus, contohnya melakukan jenayah mencuri untuk diberikan kepada orang lain. Dalam hal ini konsep yang sedemikian boleh disamakan seperti matlamat menghalalkan cara, sedangkan sebenarnya apapun matlamat yang ingin dicapai, mastilah berdasarkan cara dan kaedah yang betul.

Kategori ketiga pula ialah perkara yang ada keburukan, tetapi kemaslahatannya lebih menonjol. Contohnya diharuskan memakan bangkai sekadar untuk menolak perkara buruk, contohnya maut jika tidak memakannya disebabkan tidak ada sumber makanan lain. 

Inilah antara alasan yang diberikan oleh kerajaan apabila membenarkan penerokaan tanah baru untuk pertanian atau penempatan. Walaupun tindakan itu merosakkan alam semulajadi, tetapi kesan kebaikan perbuatan itu lebih diperlukan. 

Manakala tahap keempat pula ialah perkara yang ada unsur masalahah, namun unsur keburukannya adalah lebih banyak. Contohnya, seseorang yang ditegah memandu laju biarpun kebaikan akan menyebabkan cepat sampai, tetapi perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. 

Maka perbuatan itu ditegah atau haram. Oleh sebab itu, di Malaysia terdapat had laju ditetapkan  berdasarkan kepada kesesuaian di sesuatu tempat.

Perbahasan mengenai sad al-zariah berdasarkan kepada dua perkara utama;

Tujuan mencapai natijah yang halal atau haram.

Penelitian terhadap faktor pendorong dijadikan kepada hujah penerimaan atau penolakan sesuatu perbuatan. Contohnya seorang lelaki yang melaksanakan sesuatu kontrak melakukan nikah cina buta, tetapi sebenarnya tidak  mempunyai niat untuk melaksanakan tugasan yang perlu dilakukan (cina buta) iaitu menceraikan isterinya itu. 

Maksudnya, dia berpura-pura melakukan cina buta, sedangkan dia berniat sebaliknya, iaitu tidak mahu menceraikan isterinya yang bakal dikahwini ini. Dalam situasi itu, perkahwinan tersebut dikira sah. Pun, lelaki itu menanggung dosa disebabkan ada niat menipu tugas yang membawa kepada perkahwinan itu. 

Namun perlu dingatkan, sekiranya lelaki yang melakukan cina buta itu memang ingin melaksanakan kontrak atau tugas itu, yang ditetapkan tarikh atau pengakhiran terhadap perkahwinan itu, maka perbuatan itu dianggap sebagai perkahwinan kontrak yang tidak diterima oleh syarak. 

Maka perkahwinan itu biarpun nampak sah kerana menepati syarat dan rukun nikah, ia tidak boleh diterima sebagai perkara yang sah kerana niatnya atau faktor pendorong perkahwinan ini hanya bertujuan untuk membolehkan isterinya itu berkahwin semula dengan bekas suaminya apabila diceraikan oleh suami baru itu. 

Al-Imam Al-Muzani berkata: 'Telah sah bahwa nikah mutaah dulu pernah dibolehkan pada awal Islam. Kemudian datang hadis-hadis yang sahih bahawa nikah tersebut tidak dibolehkan lagi. Kesepakatan ulama telah menyatakan keharaman nikah tersebut.' (Syarah Sahih Muslim karya An-Nawawi).

Penelitian terhadap natijah dan kesan kepada sesuatu perbuatan tanpa dilihat apa faktor pendorongnya atau niat pelakunya.

Jika kesan perbuatan yang dilakukan itu membawa kepada kebaikan, maka amalan itu diterima atau dibolehkan. Namun, biarpun diniatkan untuk kebaikan, tetapi kesannya buruk, maka perkara itu tetap ditegah, contohnya mencuri untuk membantu orang lain dengan hasil curian itu.

Para ulama berselisih pendapat mengenai kehujahan sad al-zariah untuk diterima sebagai sumber hukum. Imam Malik dan Imam Ahmad mengakui kaedah ini boleh diterima sebagai dalil hukum. Kedua-dua mereka sering menggunakan sumber sad al-zariah sebagai dalil hukum. 

Al-Syatibi seorang ulama Mazahab Maliki mengatakan bahawa: Melihat kepada hasil sesuatu perbuatan menjadi objektif syarak. Manakala Ibn Qayyim seorang ahli usul Mazahab Hanbali dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in menegaskan bahawa “Bab sad al-zariah berjumlah satu perempat daripada keseluruhan taklif. 

Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie pada zahirnya tidak mengakui atau tidak menerima sad al-zariah sebagai hujah dalam hukum syarak. Oleh sebab itu, buku-buku dihasilkan oleh pendokong kedua-dua mazahab tersebut tidak menunjukkan sebarang kenyataan tentang pendapat mereka mengenai sad al-zariah.

Namun, bagi al-Syatibi berpendapat kedua-dua mazahab tersebut pada hakikatnya tidak menolak kehujahan sad al-zariah berdasarkan amalan yang pernah dilakukan. 

Contohnya, Syafie pernah menghukum harus meninggalkan korban sebagai suatu pemberitahuan bahawa korban itu tidak wajib. Begitu juga Abu Hanifah mengharuskan hilah dalam urusan jualan bertangguh. Kedua-dua hukum itu tidak ada dalil yang jelas dari al-Quran atau al-Sunah, cuma merupakan amalan sekumpulan sahabat sahaja.

Berdasarkan kepada itu, al-Syatibi menyimpulkan bahawa sad al-zariiah satu kaedah yang disepakati dan diakui oleh imam-imam yang empat. 

No comments:

Post a Comment