Seramai 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang obes. Jumlah ini dijangka terus meningkat.
Lazimnya berat badan diklasifikasikan kepada kurus/kurang berat, normal, berat lebih daripada normal dan obes berdasarkan Body Mass Index (BMI).
Cara mengira BMI ialah berat (kilogram) dibahagi dengan ketinggian (meter) kali ketinggian (meter).
Contoh pengiraan. Jika berat badan anda 65 kilogram dan ketinggian anda 1.70 meter. Cara kira ialah 65 dibahagi 1.7 dan dibahagi sekali lagi dengan 1.7. Jawapannya ialah 22.49. Carta BMI adalah seperti di bawah.
- Kurang daripada 18.4 - berat badan kurang atau kurus
- 18.5 hingga 24.9 - berat badan normal atau idel
- 25 hingga 29.9 - berat badan berlebihan
- 30 hingga 34.9 – obesiti tahap 1
- 35 hingga 39.9 – obesiti tahap 2
- 40 dan ke atas – obesiti tahap 3
Kerajaan amat komited untuk membudayakan amalan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin harian di kalangan rakyat. Cara mudah ialah dengan berjalan kaki. Dianggarkan berjalan 10,000 langkah bersamaan tujuh kilometer sehari mampu membakar 385 kalori.
Cara hidup orang muda sudah berbeza kerana mereka berada dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Mereka kurang melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan dan penggunaan media sosial dari pagi hingga malam.
ICT sudah menjadi budaya golongan belia sekarang. Sememangnya diakui ICT meningkatkan komunikasi sosial, namun keperluan kehidupan yang aktif tidak boleh diketepikan.
Terdapat dua sebab utama berlaku obes. Pertama, pemakanan dan kedua, aktiviti harian. Kita perlukan makanan seimbang untuk mendapat tahap kesihatan optimun. Makan melebihi permintaan fisiologi badan akan menyumbang kepada lebihan kalori dan lemak dalam badan, sekaligus menyumbang kepada obes.
Makan mengikut naluri dan perasaan memang membawa padah. Masyarakat moden mudah terpikat dengan makanan ringan dan minuman bergas. Sebaliknya, sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin pula dianggap tidak menyelerakan.
Makan sebenarnya berkaitan dengan peraturan, disiplin dan tuntutan agama yang perlu diterapkan dari usia awal. Ibu bapa kena tegas dan konsisten dalam menetapkan peraturan berkaitan makan. Ia perlu dipatuhi oleh ibu bapa sendiri dan anak-anak.
Pengaruh persekitaran perlu diberi perhatian. Budaya makanan segera semakin menular dan mendapat tempat di negara kita. Kita sepatutnya menghayati budaya makan sihat. Amalkan pemakanan seimbang. Biar bersikap cerewet asalkan dapat mengelak perkara buruk.
Makan dalam jumlah yang banyak walaupun bunyinya sekadar makanan ‘ringan’, banyak mempengaruhi pola pemakanan masyarakat kita. Hobi mengunyah makanan ringan menjadi amalan ketika bersantai menonton televisyen atau berehat.
Dari sudut kesihatan, obesiti adalah penyebab kolesterol tinggi, darah tinggi dan gula dalam darah tinggi. Itu pun belum mengambil kira deretan senarai komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar, aterosklerosis, kegagalan buah pinggang dan sebagainya.
Memantau BMI dapat mendorong kita menetapkan sasaran berat badan sejajar dengan kehendak perubatan. Tidak dinafikan, bagi mereka yang sudah mengalami obes, bukan mudah untuk kembali mencapai tahap ideal.
Ramai orang mencubanya tetapi tidak pernah berjaya. Malah, berat badan mereka semakin bertambah. Usaha ini memerlukan kesungguhnan untuk berjaya. Ia bukan satu usaha untuk kelihatan cantik semata-mata, tetapi lebih penting melibatkan soal kesihatan.
No comments:
Post a Comment