Friday 20 January 2017

Agenda perpaduan Melayu

Isu perpaduan Melayu bukan baharu. Sudah lama dibincangkan. Setiap tahun ada sahaja cadangan menyatupadukan orang Melayu, yang dikatakan mengalami masalah perpaduan disebabkan beberapa faktor.

Ada Melayu tidak bersatu disebabkan fahaman politik berbeza. Itu perkara biasa dan sudah lama dibahaskan.

Apa yang pasti, usaha memperkasakan bangsa kita agar menjadi lebih hebat, bermaruah dan berkat perlu digerakkan. Antara intipati gerakan merangkumi usaha memupuk semangat 'Melayu Hebat' dalam kalangan generasi muda.

Melayu perlu menjadi bangsa lebih hebat dan bukannya yang sentiasa mengharapkan ihsan dan bantuan. Keperibadian dan jati diri Melayu perlu sentiasa diperkasa.

Pasti ini adalah simbol perpaduan paling bermakna. Apapun, Perpaduan Melayu adalah gagasan penting yang perlu dilaksanakan. Janganlah kita hanya beretorik, tetapi tidak ada pelaksanaan.

Seperkara penting yang perlu diberi perhatian ialah keikhlasan. Mereka perlu menginsafi kesilapan yang pernah dilakukan dan bersikap jujur untuk sama-sama memainkan peranan mengeratkan perhubungan sesama Melayu.

Bangsa Melayu sebenarnya mempunyai tanggungjawab penting menentukan masa depan dan hala tuju negara. Perpaduan Melayu akan menguatkan lagi pengaruh dan peranan orang Melayu di negara ini.

Gerakan Renaisans Melayu yang dikaitkan dengan perpaduan Melayu ini boleh dianggap anjakan progresif bangsa Melayu.

Pastinya gagasan ini mampu mengukuhkan kesepakatan dan meningkatkan semangat Renaisans Melayu dengan bercirikan elemen berani, bijaksana, tekun, cemerlang dan penyayang

Sudah sampai masanya untuk kita berhenti menuding jari menyalahkan puak lain. Pastikan usaha ini tiada penghujung kerana kitalah yang bertanggungjawab memastikan agama Islam, kedudukan kita di bumi yang berdaulat ini tidak lagi diperlekeh, bahkan terus diperkasakan.

Kita tidak mahu anak cucu kita mengemis di tanah air sendiri dek kerana kesilapan kita pada hari ini.

No comments:

Post a Comment