Wednesday 27 September 2017

Haramkan pesta arak

Pesta arak, bermakna satu program diadakan sekala besar melibatkan khalayak ramai. Apa-apa program pesta atau melibatkan peserta ramai, mesti mendapat kebenaran pihak berkuasa. Sebelum meluluskan, sudah tentu pihak berkuasa tempatan akan mempertimbangkan pelbagai aspek dari segi keselamatan, kesan masyarakat setempat dan kesan sosial.

Jika permohonan dibuat mengikut peraturan ditetapkan dan difikirkan tidak mendatangkan masalah, sudah tentu perkara itu diluluskan. Namun, jika sebaliknya, permohonan itu tidak akan diluluskan.

Jika tidak diluluskan, itu bukan bermakna menyekat kebebasan bukan Islam untuk minum arak. Kebenaran minum arak tidak disekat yang boleh dilakukan di tempat-tempat yang dibenarkan selama ini.

Tidak meluluskan sesuatu pesta atau perhimpunan bukan dalam soal pesta arak sahaja. Ia juga melibatkan dalam aspek hiburan, politik, agama dan sebagainya. Banyak kedatangan penghibur antarabangsa tidak diluluskan untuk mengadakan persembahan di Malaysia. 

Adakah itu bermakna kerajaan menyekat rakyat berhibur? Tentu sekali bukan, tetapi ia tidak diluluskan kerana berkaitan aspek tertentu yang telah dipertimbangkan baik buruknya.

Dengan kata lain, soal lulus atau tidak bukan hanya berkaitan pesta arak. Perkara lain juga banyak yang tidak diluluskan. Sepertimana dijelaskan tadi, sebelum meluluskan sesuatu permohonan, ada prasyarat yang perlu diambilkira.

Dalam isu pesta arak, perkara utama difikirkan adalah aspek keselamatan. Pihak polis ada pesta itu mungkin menjadi sasaran pihak pelampau untuk mencetuskan keadaan bahaya. Ancaman ini perlu diberi perhatian serius agar tidak terjadi perkara tidak diingini.

Perkara kedua ialah soal bantahan masyarakat. Banyak pihak telah menyatakan bantahan dan laporan dibuat kepada pihak berkuasa agar tidak meluluskan permohonan mengadakan pesta arak itu. Ia melibatkan isu sensitiviti kaum dan agama.

Bantahan itu bukan bermakna pihak membantah tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah negara majmuk kerana mereka bebas untuk minum minuman keras di rumah, namun pesta arak adalah berbeza.

Tiada pihak menghalang bukan Islam minum arak di rumah atau di tempat lain yang dibenarkan, namun jika mahu menganjurkan pesta arak, ia tidak sesuai memandangkan Islam adalah agama Persekutuan yang rakyat majoritinya beragama Islam.

Justeru, penganjur program perlu menghormati agama lain kerana banyak kesan negatif bakal berlaku kesan daripada penganjuran pesta terbabit.

No comments:

Post a Comment