Sunday 17 September 2017

Bendung salah laku seks

Hubungan seks satu perbuatan murni atau baik jika dilakukan oleh pasangan suami isteri. Dalam Islam amalan itu dituntut untuk memenuhi naluri atau sifat semulajadi manusia. Seks juga untuk melahirkan zuriat yang sah nasabnya.

Malang sekali, golongan muda menjadikan seks pemuas hawa nafsu semata-mata. Mereka ingin meniru seperti apa dilakukan pasangan suami isteri. Sekarang ini tidak asing jika ada pasangan kekasih tinggal serumah seperti suami isteri biarpun belum dikahwinkan secara sah.

Langkah pembendungan adalah berkait rapat dengan mencegah puncanya. Jika punca terjadi kes dapat dikawal, maka secara langsung kejadian itu dapat dibendung.

Remaja perlu dididik agar menjaga maruah dan batas pergaulan. Ibu bapa perlu memainkan peranan utama mengawal pergerakan anak masing-masing. Tindakan ini bukan menyekat 100 pergaulan mereka kerana kongkongan melampau akan menyebabkan kesan buruk lain.                   

Apa yang patut dilakukan ialah mengelak mereka bergaul dengan kawan yang rosak akhlak. Halang anak daripada keluar pada waktu malam, terutama apabila sudah lewat malam. 

Biarpun kita berbangga peningkatan capaian penggunaan jalur lebar atau internet di negara kita, pengguna mesti disedarkan agar mengelak daripada melayari laman pronografi. Kerajaan perlu menyekat laman pronografi.

Ibu bapa juga mesti mendidik dan menghalang anak masing-masing daripada melayari laman pronografi.

Seks adalah murni jika dilakukan oleh pasangan suami isteri. Justeru, generasi muda yang tidak dapat mengawal diri daripada terjebak dalam aktiviti seks hendaklah berkahwin sebagai cara halal memenuhi tuntutan itu. 

Pasangan yang belum berkahwin mesti dijelaskan bahawa perbuatan seks sama sekali ditegah daripada dilakukan oleh mereka atas alasan apa sekalipun.  

Kita tidak patut terpengaruh dengan budaya Barat yang menjadikan seks sebagai lambang kematangan dan kebebasan. Bahkan mereka menjadikan seks sebagai tanda bukti cinta atau untuk merapatkan persahabatan.

Pihak kerajaan mesti menetapkan garis panduan yang lebih ketat terhadap media massa agar tidak menyiarkan kandungan yang berunsur seks 'melampau'. Penerbit perlu mencari pendekatan lain untuk menarik pembaca atau penonton, bukannya menggunakan unsur seks.          

Kerajaan mesti menggubal undang-undang lebih tegas terhadap mereka terlibat kes pembuangan bayi. Cadangan agar hukuman mati dan penjara lebih lama terhadap persalah itu adalah disokong.

Beriman dengan hari akhirat adalah mempercayai bahawa selepas manusia mati, Ada suatu kehidupan lain di akhirat di mana manusia akan dibangkitkan semula untuk menerima pembalasan daripada Allah di atas segala perbuatan yang dilakukan oleh mereka di dunia ini.

Sesungguhnya mereka yang beriman kepada hari akhirat tidak sekali-kali akan melakukan perbuatan dosa kerana mereka sedar perbuatan dosa itu akan menyebabkan diri akan dimasukkan ke dalam neraka yang amat pedih siksaannya. 

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Di hari itu, Allah akan menyempurnakan balasan yang setimpal untuk mereka (berdasarkan amalan mereka yang sebenar), dan tahulah mereka bahawa Allahlah yang benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikatnya yang sebenar." - (Surah an-Nur, ayat 25).

Maka, sesiapa yang beriman kepada hari kiamat akan menjauhkan apa-apa perlakuan atau perbuatan yang termasuk dalam senarai dosa dan meningkatkan segala amalan yang mendatangkan kebaikan.

Perbuatan zina diharamkan kerana ia perbuatan keji melanggar ketetapan agama. Besar dosa mereka melakukan zina dan membawa lebih banyak keburukan lain.  

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." (Surah al-Israk, ayat 32).

Banyak kes bayi dibunuh sebelum mayatnya dibuang seperti bangkai haiwan. Ada juga kes yang mana bayi yang dibuang masih hidup, kemudian mati disebabkan tidak mendapat keperluan yang sepatutnya (susu, perlindungan fizikal dan jagaan).  

Perbuatan itu disamakan seperti membunuh.  

Sesungguh perbuatan membunuh amat ditegah dalam Islam. Firman Allah bemaksud: "Janganlah kamu membunuh orang yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang sah." - (Surah al-Israk, ayat 33).
                                                                       
Islam menyediakan langkah pencegahan untuk mengelak berlaku perbuatan zina. Lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan tidak dibenarkan berada berdua-dua di tempat terlindung.  

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jangan sekali seorang lelaki bersama-sama dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya." (Hadis riwayat Ahmad).

Untuk mengelak zina yang menyumbang kes pembuangan bayi, dinasihatkan kepada mereka yang cenderung melakukan hubungan seks dan mampu berkahwin, maka bersegeralah berkahwin. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Masyarakat perlu mengubah minda dengan lebih positif, bukan lagi berfikiran ortodoks bahawa anak luar nikah itu patut disisih dan jika dibuang.   

Mereka yang melakukan zina dan melahirkan anak zina perlu bertaubat dan janganlah pula menambah dosa dengan membuang bayi.                                                                                                        
Sesungguhnya setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah atau bersih daripada sebarang dosa yang dilakukan oleh ibu bapanya. Biarpun dilahirkan sebagai anak zina, anak itu masih berpeluang hidup sebagai insan mulia jika dididik dengan baik.  

Sabda Rasulullah bermaksud: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci).  Ibu bapalah yang mencorakkan sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi." - (Hadis riwayat Bukhri dan Muslim).

No comments:

Post a Comment