Monday 11 September 2017

Golongan muda tidak sensitif politik

Generasi muda bakal pewaris kepimpinan negara. Namun kebelakangan ini, sikap generasi muda menunjukkan mereka tidak peka dan sensitif terhadap sosialisasi politik negara.

Antara faktor golongan belia kurang sensitif terhadap aktiviti sosialisasi politik negara disebabkan hidup selesa dan mewah. Generasi pasca merdeka tidak mengalami perit hidup sebelum merdeka dan suasana ketika baru mencapai kemerdekaan.

Jika belia terus pasif serta tiada ‘cakna’ dalam aktiviti sosialisasi politik, nescaya kita akan ketandusan pemimpin berkaliber dalam proses pengurusan dan pentadbiran negara pada masa hadapan. Proses melahirkan pemimpin unggul mengambil masa lama melalui pengalaman dan asuhan berterusan.

Kajian yang pernah diadakan mendapati sosialisasi politik dalam kalangan belia adalah di peringkat sederhana baik sahaja kerana ramai belia yang tidak membabitkan diri dalam aktiviti sosialisasi politik. Sosialisasi politik bermaksud bagaimana kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan kita.

Sosialisasi politik dipengaruhi oleh ibu bapa, ahli keluarga, rakan sebaya, malah media dalam menerima atau menolak sesuatu parti politik. Namun keentengan generasi muda terhadap perkara ini menyebabkan mereka menunjukkan sikap berkecuali dengan persekitaran yang berlaku di sekeliling mereka.

Mereka menganggap bahawa tugas kerajaan adalah untuk melakukan sesuatu yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka, namun mereka tidak membantu dari segi kestabilan politik negara dengan tidak mendaftar sebagai pemilih, atau telah mendaftar, tetapi tidak membuang undi.

Selain itu, persepsi generasi muda yang sempit terhadap politik turut mempengaruhi sikap berkecuali mereka dalam sosialisasi politik negara. Mereka beranggapan bahawa keterlibatan dalam politik adalah berusaha untuk menjadi pemimpin parti politik di peringkat tempatan dan nasional.

Di samping itu, kelekaan golongan muda dalam arus hiburan dan keseronokan menyebabkan mereka mengabaikan hal-hal lain yang lebih besar dalam kehidupan mereka, khususnya dalam berpolitik.

Langkah drastik perlu diambil oleh kerajaan dan semua pihak perlu menggembleng tenaga ke arah yang sama. Kerajaan mungkin boleh menyuntik kefahaman dalam kalangan belia dengan mewujudkan satu subjek khas di sekolah atau di institut pengajian tinggi.

Pendidikan tentang struktur dan pentadbiran kerajaan Malaysia penting supaya golongan belia akan sedar dan memahami tanggungjawab mereka dalam kepentingan politik negara. Pelbagai kursus untuk menimbulkan kesedaran berpolitik juga wajar dilaksanakan oleh semua pihak bertanggungjawab.

Di samping itu, pihak universiti juga perlu memainkan peranan untuk mencetuskan kesedaran di kalangan mahasiswa serta menggalakkan mereka keluar mengundi dengan mengisytihar cuti umum ketika pilihan raya berlangsung.

Golongan muda tidak sepatutnya berfikiran negatif terhadap sosialisasi politik kerana kepemimpinan masa hadapan tetap akan tergalas di bahu kita. Duka cita golongan terpelajar tidak memahami sistem politik negara. 

Sebab itu, mereka tidak kisah tentang apa yang berlaku dalam politik.  Tetapi, jika hak mereka tidak ditunai, tahu pula mereka menyalahkan pemimpin politik, sedangkan mereka sendiri benci atau tidak ambil peduli tentang politik.

No comments:

Post a Comment