Monday 11 September 2017

Apakah hukum nikah mutaah, dan syarat perkahwinan kontrak bertempoh

Nikah mutaah bererti lelaki menikahi wanita dengan perjanjian tempoh waktu tertentu mengikut persetujuan bersama. 

Apabila tempoh itu tiba, berlaku perceraian secara automatik tanpa pihak isteri mahupun anak-anak mendapat apa-apa nafkah mahu pun harta warisan. Dalam erti kata mudah, nikah mutaah adalah nikah kontrak bertempoh.

Cara nikah mutaah amat mudah. Tidak perlu ada tok imam ataupun tok kadi untuk akad nikah. Tidak perlu ada wali dan saksi. Lelaki tersebut hanya perlu bersalam dengan perempuan tersebut dan melafazkan akad nikah dengan sendiri secara berduaan dengan wanita tersebut di mana sahaja dengan bayaran mas kahwin yang sangat murah.

Tanpa mengambil peduli sama ada wanita tersebut sudah bersuami atau tidak. Dengan kata lain, wanita boleh mempunyai lebih dari satu orang pada satu-satu masa apabila dinikahi secara mutaah oleh lelaki lain.

Mereka mengikat tali perkahwinan untuk jangka masa tertentu sama ada setahun, sebulan, seminggu atau sehari mengikut persetujuan bersama. Apabila genap tempoh yang dijanjikan tersebut, tali pernikahan mereka terputus secara automatik tanpa perlu melafazkan cerai.

Jika isteri hamil atau mendapat anak, semua itu adalah tanggungjawab isteri sebaik sahaja kontrak perkahwinan mereka tamat. Si isteri juga tidak akan mendapat sebarang nafkah dan harta warisan setelah bercerai.

Setelah tamat tempoh, jika dia mahu berkahwin semula dengan perempuan yang sama, tidak haram baginya menikahi perempuan tersebut berulang kali sebanyak mana yang dia mahu. Juga tiada had maksimum untuk beristeri lebih daripada empat orang dalam satu masa. Dengan nikah mutaah, lelaki boleh berpoligami sebanyak mana diingini.

Hukum nikah mutaah ada peringkatnya. Pada zaman awal Islam, Rasulullah SAW membenarkah nikah mutaah kerana ia merupakan satu kebiasaan masyarakat zaman Jahilliyah ketika itu.

Kemudian nikah mutaah diharamkan secara berperingkat yakni terhad ketika berperang dan berdagang. Sehinggalah di penghujung hayat Rasulullah SAW, baginda mengharamkan nikah mutaah secara mutlak sehingga hari kiamat.

Justeru, hukum muktamad nikah mutaah adalah haram atau tidak sah dan inilah yang menjadi pegangan para sahabat dan tokoh-tokoh ilmuan Islam dari semua mazhab baik Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi.

Dalil pengharaman amat jelas. Dari Sabrah bin Ma'bad Al-Juhaini, dia berkata: "Kami bersama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan haji. Pada suatu saat kami berjalan bersama saudara sepupu kami dan bertemu dengan seorang wanita. Jiwa muda kami mengagumi wanita itu. Akhirnya aku menikahinya dan tidur bersamanya satu malam. 

Keesokan harinya aku pergi ke Masjidil Haram, dan tiba-tiba aku melihat Rasulullah SAW sedang berpidato di antara pintu Kaabah dan Hijr Ismail. 

Baginda bersabda, "Wahai sekalian manusia, aku pernah mengizinkan kepada kalian untuk melakukan nikah mutaah. Maka sekarang siapa yang memiliki isteri dengan cara nikah mutaah, haruslah dia menceraikannya, dan segala sesuatu yang telah kalian berikan kepadanya, janganlah kalian ambil lagi. Kerana Allah SWT telah mengharamkan nikah mutaah sampai hari kiamat" 

No comments:

Post a Comment