Sunday 1 October 2017

Cara kurang kadar jenayah

Tidak dinafikan jenayah di negara kita tidak dapat dibendung sepenuhnya.  Kes jenayah masih berlaku.  Antara punca berlaku adalah hukum dikenakan agak terhad dan sangat rendah. 

Beberapa kaedah hukuman wajar dipertimbangkan untuk menepati matlamat hukuman dalam Islam. 

Tambah kadar hukuman.  Antara bentuk hukuman dilaksanakan di Malaysia ialah bayaran denda.  Hukuman melakukan khalwat yang ditetapkan di negeri-negeri hanya di antara RM2000 hingga RM5000.  Jumlah itu amat sedikit bagi mereka yang berpendapatan tinggi.  Bayangkan jika mereka berpendapatan RM10,000 sebulan hanya dijatuhi hukuman RM3000.00!  Jumlah itu kecil dan tidak menakutkan mereka untuk mengulangi lagi.

Contohnya, baru-baru seorang ketua pengarah agensi kerajaan yang pendapatannya dianggarkan RM20,000 sebulan hanya dikenakan RM3000.00 setelah didapati bersalah atas kesalahan khalwat. 

 Penambahan kadar hukuman bukan satu penganiayaan. Tujuan untuk tingkatkan 'ketakutan' melakukan jenayah. Kes-kes yang kini memberi peluang membayar denda sepatutnya dijatuhi hukuman mandotori penjara sebagai pengajaran.
           
Tingkatkan penguatkuasaan. Tidak dinafikan, tahap penguatkuasaan masih di tahap rendah.  Perkara ini berpunca kurang kakitangan untuk melakuknya.  Ini memberi peluang orang melakukan jenayah dan merasa akan terlepas daripada tindakan.

Sekarang ini bahagian penguatkuasaan agama, hanya terdapat 1,114 orang saja di seluruh negara   Ini bermakna purata penguatkuasa agama di sesebuah daerah tidak sampai 10 orang, sedangkan mereka terpaksa melakukan pelbagai tugas.  Ini menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan untuk membenteras perbuatan tidak baik, contohnya dalam kes perlakuan tidak sopan muda mudi di khalayak ramai. Muda mudi tidak takut melakukannya kerana yakin tidak ada penguatkuasa untuk melaksanakan perkara itu.

Kempen kesedaran.  Masyarakat perlu disedarkan tentang bahaya jenayah dan kemungkinan mereka turut menjadi mangsa.  Langkah pengcegahan dan berhati-hati mesti diambil bagi mengelak menjadi mangsa jenayah.  Kes jenayah biasanya berlaku disebabkan kelalaian diri sendiri yang memberi peluang kita menjadi mangsa jenayah.  Sebab itu, kita perlu peka untuk bertindak mempertahankan diri.

Kita perlu lebih berhati-hati atau mengambil sikap curiga terhadap punca jenayah.  Contohnya, untuk mengelak menjadi mangsa ragut, pastikan barang berharga dibawa dengan berhati-hati atau dalam keadaan tertentu elok tidak membawa atau memakai barang berharga.

Kesedaran juga perlu ditanam kepada mereka yang melakukan jenayah.  Fikirkan kesan penderitaan ditanggung oleh mangsa.  Kadang kala perbuatan mereka itu menyebabkan kematian, contohnya jenayah ragut.
           
Penglibatan semua pihak. Kes jenayah meningkat antara lain berpunca sikap masyarakat tidak peduli apa yang berlaku disekeliling. Mererka hanya bertindak jika jenayah itu terkena pada diri mereka atau keluarga.  Pepatah mengatakan jangan jaga tepi kain orang menyebabkan jenayah berlaku depan mata tanpa dilakukan sesuatu untuk menghalangnya.    

Jika sesuatu kesalahan kecil tidak dihentikan segera, ia akan merebak dan mempengaruhi orang lain turut melakukannya. Contohnya, perbuatan menghisab dadah bukan menjadi kesalahan peribadi, tetapi ia melibatkan semua orang apabila banyak yang akan turut terpengaruh.  Penagih kemudian terdorong melakukan kesalahan lain seperti ragut dan mencuri, bahkan boleh melakukan pembunuhan jika dalam keadaan gian tidak mendapat bekalan dadah. Kebanyakan kes ragut dan samun dilakukan oleh penagih dadah. 

Kesan perbuatan ragut bukan sekadar kerugian harta benda, bahkan kini menjadi kes bunuh apabila mangsa ragut cuba mempertahankan diri atau menyebabkan kemalangan.


No comments:

Post a Comment