Friday 10 August 2018

Kita akan tua juga nanti

Sekiranya dipanjangkan umur, kita semua akan menempuh alam usia tua. Ketika itu kita akan mengalami seperti mana apa yang dialami oleh golongan tua yang kita lihat sekarang. 

Golongan tua mengalami banyak perubahan berbanding usia muda. Perubahan itu meliputi berkaitan fizikal dan minda berubah seperti penglihatan mula kabur, pendengaran semakin hilang, kulit menjadi berkedut, tenaga tidak lagi gagah dan paling ketara ada yang menjadi nyanyuk. 

Sebenarnya tidak ada umur khusus meletakkan seseorang telah memasuki usia tua. Bagaimanapun, dalam masyarakat kita biasanya usia tua merujuk kepada individu yang telah mencapai usia 50 tahun dan ke atas. Ada juga orang mengaku sudah tua hanya setelah pencen daripada pekerjaan yang lazim pada usia 60 tahun. Tetapi tidak kurang juga yang tidak pernah merasakan dirinya tua!

Namun apa yang pasti ialah golongan tua banyak berjasa kepada golongan muda. Jika tiada golongan tua, sudah pasti tidak mungkin ada golongan muda. Manakala apa yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil usaha pengorbanan yang telah dilakukan golongan tua. 

Contohnya pergorbanan golongan tua yang berusaha menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah. Lepas itu mereka berusaha keras pula untuk membangunkan negara sehingga mencapai apa yang kita nikmati sekarang ini.

Dalam ajaran Islam, golongan tua mesti dihormati. Suruhan menghormati orang tua  bukan sekadar kepada ibu bapa kita sahaja. Semua orang tua perlu dihormati sepertimana kita menghormati ibu bapa. 

Lebih-lebih lagi jika orang tua itu adalah rakan kepada ibu bapa kita. Rasulullah menyuruh agar kita meneruskan silatulrahim dengan rakan-rakan ibu bapa kita biarpun ibu atau bapa kita telah meninggal dunia.

Maksud menghormati dan menghargai golongan tua ialah mereka diutamakan, dikasihi dan diberi kemudahan untuk menikmati kehidupan usia tua dengan selesa, terjamin, selamat dan mengembirakan. 

Dalam masyarakat kita sememangnya sentiasa memberi layanan baik kepada golongan tua. Sebagai satu gambaran penghormatan yang perlu diberikan kepada golongan tua ialah golongan tersebut digelar sebagai warga emas. Semua orang ingin dan sayang kepada emas, dan begitulah yang sepatutnya penghormatan yang diberikan kepada warga emas.

Memandangkan golongan tua berada dalam serba kekurangan dalam segi kekuatan fizikal dan kebanyakannya mungkin juga mental, mereka memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan hidup alam tua dengan seadanya. Sesungguhnya, dalam hal ini perhatian dan sokongan daripada anak dan ahli keluarga amat diperlukan.    

Keadaan ketika usia telah lanjut dinyatakan dalam surah al-Hajj, ayat 5 bermaksud: “Dan (dalam pada) itu ada di antara kamu yang dimatikan (ketika kecil atau dewasa) dan ada pula dilanjutkan umur ke peringkat tua serta nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi mengenai sesuatu yang sudah diketahui dahulu.”

Sebenarnya menghormati golongan tua bukan suatu amalan yang asing bagi kita. Sebahagian daripada ahli keluarga kita adalah termasuk golongan tua. Dalam setiap keluarga tentu ada golongan tua seperti bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara. 

Dengan kata lain, menghormati golongan tua, tidak kira apa hubungan persaudaraan mereka dengan kita adalah sebahagian tanggungjawab menghormati bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara sendiri. 

Jika difikirkan, menghormati golongan tua bukanlah satu bebanan yang berat untuk ditunaikan. Mereka bukannya meminta dilebihkan dalam layanan dan penghormatan. Golongan tua sememangnya menyedari bahawa zaman mereka sudah berlalu. Tidak ada apa lagi yang hendak direbut melainkan menghabiskan sisa-sisa hidup dengan selesa.

Sebenarnya rata-rata golongan tua merasa sudah memadai jika mereka dilayan secara sederhana. Cukuplah sekadar mereka diberi keistimewaan dalam hal-hal tertentu bagi membolehkan hidup selesa dan selamat. Apa yang penting ialah mereka tidak disisih dan dihina disebabkan usia tua. 

Ramai merasai rungsing apabila memikirkan keadaan hidup menghadapi usia tua. Disebabkan wujud fenomena itu banyak golongan tua mengalami kehidupan usia tua dengan keadaan suram. 

Kerungsingan ini berasas memandangkan kes anak melayan ibu seperti orang gaji semakin meningkat. Banyak ibu bapa dihantar oleh anak mereka ke rumah kebajikan, dan banyak juga orang tuan yang hidup merepat di jalanan. 

No comments:

Post a Comment