Tuesday 23 October 2018

WANITA LEBIH SOPAN JIKA TIDAK MEROKOK


Kerajaan saban tahun mengadakan kempen anti merokok bagi mengurangkan bilangan perokok. Kempen juga bertujuan menyedarkan golongan berpotensi menjadi perokok agar tidak terjebak dengan amalan membawa padah buruk itu. Jika terjerat dengan ketagihan rokok, sukar untuk melepaskan daripada lilitan yang membinasakan diri itu.    

Setiap kali kempen anti merokok, konsep yang diketengahkan lebih kepada menjelaskan tentang bahaya merokok. Rencana dan iklan anti merokok tertumpu untuk menyedarkan orang ramai kaitan langsung perbuatan merokok dengan penyakit bahaya yang membawa maut. 

Keberkesanan kempen anti merokok tidak menyerlah. Perokok tidak menunjukkan rasa insaf perbuatan itu sia-sia. Malah, mereka merasakan permasalahan yang diketengahkan dalam kempen anti merokok dapat diatasi dengan mudah. 

Contohnya, iklan anti merokok menunjukkan gigi hitam akibat merokok, boleh diatasi dengan mudah dengan pelbagai produk penjagaan diri yang mengambil masa singkat. Jadi, perokok tidak perlu takut hendak merokok jika hanya untuk mengelak gigi daripada menjadi hitam.        

Kempen anti merokok tidak berjaya mengurangkan bilangan perokok di negara kita dan tidak menakutkan golongan yang baru cuba merokok. Pun, tidak dinafikan kempen itu sedikit sebanyak menyedarkan orang ramai tentang bahaya merokok. 

Islam menganjurkan agar umatnya sentiasa menjauhkan diri daripada perkara yang mendatangkan mudarat, tidak kira kecil ataupun besar. Syariat Islam mengajar cara hidup yang selamat, sejahtera, sihat dan cemerlang.    

Setiap perbuatan yang dilakukan memberi kesan baik buruk di dunia, dan juga ada pembalasannya di akhirat kelak. Tiada perbuatan yang dilakukan di dunia ini terlepas daripada menerima pembalasan di akhirat. 

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi pembalasan. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga tetap akan diberi pembalasan.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8). 

Justeru, perbuatan merokok juga mendapat pembalasan di akhirat. Justeru, kita perlu faham apakah kedudukan merokok dari segi fikah. Jangan ambil mudah soal ini kerana turut dikaitkan dengan pahala dan dosa.      

Merokok telah disepakati oleh ulama sebagai perbuatan haram di sisi agama. Sesiapa melakukan perbuatan itu bermakna membuat perbuatan dosa. Manakala siapa meninggalkan perbuatan itu atas dasar perbuatan itu ditegah oleh agama, maka dia memperoleh pahala.

Sebarang kekeliruan mengenai amalan merokok perlu diperjelaskan kepada orang ramai. Tanggungjawab ini perlu dilakukan pihak berkuasa agama. Pihak berkuasa agama bukan sekadar berperanan menguruskan soal nikah kahwin, zakat dan mencegah jenayah zina. 
 
Masyarakat di negara ini menghukum perbuatan merokok makruh berdasarkan kepada mazahab Syafie. Merokok dihukum makruh kerana ia tidak memabukkan dan bukan dari jenis memabukkan. Pada masa lalu tidak ada kajian sainstifik menjelaskan tentang bahaya merokok. Amalan merokok juga tidak begitu meluas.

Berdasarkan kepada hukum makruh itu, maka banyak individu yang merokok tanpa merasakan satu perbuatan dosa. Sebab itu di kalangan ulama, ustaz, guru agama, pak haji dan pak imam juga merokok. 

Justeru, amat sukar untuk menguatkuasakan larangan merokok berdasarkan kehendak agama. Masyarakat mempersoalkan benarkah merokok bercanggah dengan agama, sedangkan ulama, guru agama, ustaz dan pak haji ramai merokok. Mereka melihat kepada realiti apa yang berlaku dalam masyarakat. Jika merokok itu haram, sudah pasti orang alim tidak merokok.   

Hal kedudukan ini perlu dijelaskan kepada orang ramai bagi mengelak kekeliruan ini berterusan yang mendatangkan keburukan dan kerugian kepada umat Islam. 

Hakikatnya, merokok jelas mendatangkan bahaya kepada kesihatan sebagaimana amaran yang tertera dengan jelas pada kotaknya. Kajian sainstifik dan kajian perubatan membuktikan amalan merokok membahayakan kesihatan dan hal ini disedari semua perokok. Malah ada perokok mengatakan kelebihan dia merokok ialah cepat mati.   

Ajaran Islam memenuhi keperluan hidup manusia sepanjang masa dan setiap permasalahan hidup manusia ada jawapan dari sudut Islam. Oleh itu kita perlu sentiasa bersedia menerima sesuatu yang baru dalam permasalahan hukum fikah, tetapi hakikatnya ia telah ditetapkan sejak awal lagi. 

Mengikut kaedah hukum fikah, sesuatu yang mendatangkan keburukan wajib dijauhi dan setiap Muslim tidak perlu berdolak dalih dalam menentukan halal dan haram, atau setidak-tidaknya baik dan buruk. 

Pemimpin politik atau ulama perlu menjalankan tanggungjawab politiknya iaitu menjelaskan apa yang sepatutnya diketahui penyokong. Hal berkaitan kepentingan umum yang jelas kedudukannya perlu diutamakan disebarkan untuk pengetahuan semua. Ini lebih penting berbanding mengeluarkan fatwa dalam perkara lain bersifat retorik, kepartian dan menimbulkan kekeliruan umum. 

Sebenarnya fatwa bahawa merokok adalah haram telah lama dikeluarkan di peringkat antarabangsa, termasuk Mufti Mesir, Dr Nasr Fareed Wassil. Di negara kita, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam.  Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam. 

Oleh itu, kedudukan hukum merokok bukan sekadar disebut golongan anti merokok seperti didakwa oleh pihak tertentu. Fatwa haram merokok sudah pasti menambil kira keburukan akibat merokok seperti diketahui umum.      

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud: “Dan hendaklah kamu memberikan derma untuk kepentingan sabilillah dan janganlah kamu menjermuskan diri dalam jurang kebinasaan, dan hendaklah bertindak sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”

Satu perkembangan amat mengejutkan,  di tempat tertentu, sekali pandang menunjukkan remaja perempuan lebih berani merokok di depan umum berbanding remaja lelaki. Di tempat dibenarkan merokok, wanita dan lelaki kini berkongsi keseronakan dan nikmat merokok. 

Kajian mendapati tabiat merokok di kalangan perokok wanita berpunca daripada empat faktor utama iaitu fisiologi, psikologi, sosial dan pesekitaran. Mereka mengaitkan merokok boleh menaikkan imej, megurangkan berat badan, atasi rasa rendah diri dan pengaruh rakan sebaya. 

Alasan yang diberikan mugkin hanya pada peringkat awal ketika mereka mahu memulakan tabiat itu. Akhirnya mereka telah memerangkap diri dalam lingkaran citpaan sendiri yang membawa mereka menjadi perokok tegar yang tidak boleh memberhentikan tabiat itu.

Ada wanita mengatakan merokok memberi inspirasi dan boleh memberi banyak idea. Hambatan dan cabaran tugas di pejabat yang sentiasa memerlukan komitmen tinggi menyebabkan mereka terpaksa merokok untuk memenuhi tuntutan itu. 

Mereka mendakwa, kenyataan itu hanya mampu diterjemahkan oleh mereka yang merokok. Jika ada pihak lain menasihatkan supaya tidak meneruskan tabiat sia-sia itu, mereka akan mentempelak kembali dengan kata-kata, itu hak dan pilihan sendiri. Soal kesihatan atau keburukan akan ditanggung sendiri.

Sememangnya itulah alasan yang sentiasa diberikan oleh mereka yang telah ketagih merokok. Perkara ini hanya dapat dikengkang jika awal-awal lagi ia ditegah. Perkara ini pun bukan mudah hendak dilakukan.  Individu yang mungkin mempunyai kuasa hanyalah ibu bapa. Tetapi, timbul masalah juga jika ibu bapa pun merokok atau tidak memperdulikan perbuatan itu dilakukan oleh anak gadis mereka.

Perbuatan merokok bukan sekadar menjadi masalah disiplin di kalangan pelajar di sekolah menengah. Ia kini telah merebak di kalangan gadis di sekolah rendah. Satu fenomena amat mengerunkan apabila memikirkan kesan jangka panjang nasib masa depan generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan. 

Ketika masing-masing berusaha menampilkan imej menyakinkan, rokok dilihat sebagai antara faktor menaikkan meningkatkan imej. Inilah yang antara menjadi punca gadis juga mencuba merokok. Di kalangan remaja lelaki, merokok seperti tidak memberi apa-apa kehebatan lagi, tetapi bagi gadis ia masih dipandang hebat, sekurang-kurangnya di kalangan mereka. 

Amalan merugikan ini perlu dihentikan segera. Statistik menunjukkan kira-kira 10,000 mati setiap tahun akibat pelbagai serangan penyakit berkaitan amalan merokok di negara kita. Namum jumlah itu tidak langsung membimbangkan golongan ini. 

Marilah kita sama-sama berfikir sejenak. Apakah kita sanggup meracun diri kita sendiri dengan merokok? Itu sudah boleh disamakan dengan membunuh diri sendiri. Merokok tidak wajar dijadikan budaya dalam masyarakat kita, tambah-tambahn lagi di kalangan wanita. Sesungguhnya, wanita lebih bersopan dan lebih tinggi imejnya jika tidak merokok. 

No comments:

Post a Comment