Tuesday 23 October 2018

BUDAYA MAKAN RAKYAT MALAYSIA PUNCA OBERSITI

Budaya makan rakyat Malaysia banyak mendatangkan mudarat dan membazir. Perkara ini terbukti statistik meletakkan Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara yang paling ramai rakyatnya mengalami obesiti. 

Obesiti dikaitkan dengan makan melebihi keperluan badan dan kurang bersenam atau melakukan aktiviti fizikal untuk membakar kalori yang terdapat dalam makanan. 

Secara realitinya, rakyat Malaysia bukan saja berdepan dengan masalah obesiti, bahkan secara langsung mudah dijangkiti pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti barah, masalah jantung, diabetes dan lain-lain yang mempunyai hubung kait dengan cara pemakanan dan aktiviti harian. 

Sebenarnya amalan makan berlebih-lebihan memang mendatangkan banyak keburukan dan sebab itu ia ditegah dalam Islam. Ajaran Islam mengajar amalan bersederhana dan mengelak daripada melakukan perbuatan berlebih-lebihan yang banyak mendatangkan keburukan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta janganlah berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31).

Sesungguhnya nasib rakyat Malaysia amat baik berbanding kehidupan rakyat di negara lain dalam soal mendapat bekalan makanan. Rakyat Malaysia tidak berdepan masalah kelaparan biarpun dikategorikan hidup miskin.

Sedangkan, mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, seorang daripada lima (kira-kira 800 juta) orang penduduk dunia berada dalam kelaparan. Pada waktu yang sama lebih dua bilion penduduk mengalami apa yang disebutkan kurang zat pemakanan.   

Islam tidak melarang menikmati makanan dan minuman yang diingini selagi ia tidak melampuai batasan agama. Malah, sesiapa yang menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman dengan sentiasa mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT, maka dialah orang yang beruntung.

Firman Allah SWT bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyambah-Nya semata-mata.”  (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Sesiapa mengamalkan makan secara mengikut nafsu tidak pernah memberi kepuasan secara hakiki kepadanya. Ini kerana lebih banyak dimakan, perasaan puas semakin tidak dirasai.  Sebab itu, nafsu makan jika semakin dituruti, lebih banyak keburukan yang timbul. 

Perbuatan tidak mengawal jenis makanan dan makan secara banyak merupakan punca penyakit. Pakar pemakanan dan perubatan selalu menasihatkan agar menjauhkan diri daripada amalan makan tidak sihat yang akan memberi mudarat kepada kesihatan. 

Sebenarnya, apa yang dinyatakan oleh pakar pemakanan dan perubatan itu telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW lebih 1400 tahun lalu. 

Baginda memberi panduan menjaga kesihatan berkaitan dengan pemakanan melalui sabda yang bermaksud: “Perut ialah rumah segala jenis penyakit dan penjagaan terhadap makan adalah permulaan perubatan. Permulaan penyakit ialah mengisi perut dengan berlebih-lebihan.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya makan berlebihan bukan saja mendatangkan masalah kepada kesihatan, tetapi juga kepada kewangan. Disebabkan permintaan yang sentiasa tinggi terhadap makanan, harga makanan sentiasa naik. 

Sebab itu, ketika ekonomi mengalami kegawatan, permintaan terhadap makanan masih meningkat. Orang sanggup berhabis demi memenuhi selera makan. 

Satu lagi kesan kewangan disebabkan makan berlebihan ialah kos rawatan. Rakyat Malaysia membelanjakan banyak wang semata-mata untuk kurus dan merawat penyakit berkaitan tidak menjaga cara makan. 

Perkara ini dapat dielakkan jika sentiasa mengamalkan cara pemakanan sihat.  Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. 

Sesungguhnya, kita perlu bersyukur dengan nikmat makanan yang dirasai. Antara tanda bersyukur ialah menghargai setiap makanan agar tidak membazir dan tidak mendatangkan mudarat. 

Makan secara banyak juga boleh dianggap membazir kerana ia melebihi apa yang diperlukan oleh badan.

No comments:

Post a Comment