Wednesday 24 October 2018

BERUBAH HIDUP LEBIH BAIK

Islam adalah addin yang menyempurnakan semua keperluan fitrah kejadian manusia yang berkehendakkan kepada kemewahan dan kesenangan hidup di dunia. Islam menyediakan landasan peraturan yang menggalakkan dan membenarkan penganutnya memenuhi keperluan jasmani dan rohaninya.

Islam tidak menolak keduniaan semata-mata mengejar kehidupan akhirat. Sesungguhnya, kekayaan dan kesenangan hidup di dunia adalah anugerah yang disediakan oleh Allah untuk direbut setiap hamba-Nya. 

Islam tidak menghalang usaha mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia. Bahkan, tugas mencari rezeki adalah wajib untuk memenuhi keperluan hidup.  

Sesiapa berusaha mencari kekayaan dan kesenangan hidup mengikut seperti dianjurkan Islam, maka dia memperoleh apa yang diingini di dunia ini dan balasan kebaikan untuk kehidupan di akhirat.

Ada pihak tidak memahami kehendak ajaran Islam berkaitan mencari kekayaan. Mereka menahan diri daripada mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia dengan alasan tidak mahu lalai daripada melaksanakan ibadat. 

Ini bertentangan dengan perintah Allah.  Firman Allah bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagiaan hari akhirat dan janganlan engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qashash, ayat 77).

Golongan yang tidak mencari kesenangan hidup di dunia sebenarnya bukan tidak inginkan kesenangan. Mereka sebenarnya malas. Sekiranya berpeluang mendapat secara mudah atau ‘percuma’, mereka tidak pula menolaknya. 

Jelas sekali adalah amat penting usaha mengubah sikap dan pemikiran bagi memacu orang Islam menghargai setiap peluang yang terbuka luas. Perbuatan mengaitkan kemiskinan sebagai takdir membuktikan sifat negatif menguasai diri.

Akibat pemikiran sempit itulah, umat Islam berdepan dengan kualiti hidup yang rendah berbanding penganut agama lain. Majoriti umat Islam di seluruh dunia sekarang ini menjalani kehidupan penuh kedaifan dan kesengsaraan. 

Umat Islam menjadi mangsa kepada kekayaan dan kecerdikan pihak lain. Lebih separuh daripada 58 buah negara Islam berada dalam kategori negara miskin. Jika dicampurkan semua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seluruh negara Islam, masih tidak dapat mengatasi KDNK negara Jepun.

Amat malang sekali umat Islam tidak mampu menterjemah ajaran Islam dalam soal suruhan mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia. Sebaliknya, lebih ramai yang melihat dari skop yang sempit apabila membaca ayat al-Quran atau hadis. 

Ada golongan yang menjadikan kemiskinan sebagai cara mendapat kelebihan di sisi Allah. Mereka mengaitkan kemiskinan sebagai lambang orang soleh berdasarkan maksud beberapa hadis.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin dan matikanlah aku miskin dan kumpulkanlah aku di padang mashyar dalam golongan orang yang miskin.”  (Hadis riwayat Tirmizi).

Tirmizi juga meriwayatkan hadis bermaksud: “Akan masuk syurga umatku yang fakir sebelum yang kaya dengan 500 tahun.”

Sebenarnya, maksud hadis itu bukan menyuruh umat Islam menjadi miskin. Sebaliknya, hadis itu menjelaskan dari prespektif Islam bahawa kemiskinan bukan satu kehinaan di sisi Allah dan bukan menentukan kedudukan di akhirat nanti.

Allah menilai seseorang berdasarkan kepada ketakwaan dan bukannya kekayaan yang dimiliki. Tetapi, Islam menggalakkan agar umatnya kaya di dunia.   

Hadis itu antara lain bertujuan memberi semangat di kalangan para sahabat yang miskin bahawa di akhirat nanti mereka tetap mendapat tempat yang baik. Biarpun hidup di dunia ini dilingkari kemiskinan, mereka tetap mendapat balasan kebaikan di akhirat atas apa yang diusahakan di dunia.  

Banyak sahabat Rasulullah yang miskin merasa rungsing disebabkan tidak dapat  bersedekah dan mengeluarkan zakat. Sedangkan mereka mengharapkan ganjaran yang sama seperti diperoleh di kalangan sahabat yang kaya.  

Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyebut mengenai kelebihan orang membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Lanjutan itulah menyebabkan para sahabat yang miskin merasa satu kerugian pada diri mereka. 

Namun, ada golongan yang menjadikan hadis dan ayat al-Quran berkaitan kelebihan kehidupan miskin dan amaran kecelakaan bagi orang kaya dijadikan alasan untuk hidup miskin. 

Golongan ini lupa tentang janji-janji Allah bagi sesiapa berusaha mencari kekayaan dan membelanjakan ke jalan Allah. Sesungguhnya kekayaan di dunia ini amat besar manfaatnya bagi orang Islam yang bertakwa.

Hakikat sebenarnya, kekayaan dan kesenangan hidup di dunia adalah ujian menentukan darjat seseorang di sisi Allah. Sesiapa mendapat kekayaan dan membelanjakan harta itu untuk jalan kebaikan, maka dia mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

Fahaman yang memisahkan umat Islam dengan kejayaan dan kekayaan di dunia diasaskan golongan menolak fitrah kejadian manusia dan mengkufuri nikmat disediakan Allah. Alam ini telah dipermudahkan bagi manfaat manusia mendapatkan apa diingini mengikut aturan yang ditetapkan. 

Allah berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” (Surah al-Mulk, ayat 15).

Bagaimanapun rezeki dan kesenangan hidup tidak datang secara bergolek jika tidak diusahakan mendapatkannya. Sesiapa bijak dan gigih menggunakan ketajaman fikiran serta kekuatan khudrat, maka baginya dilimpahkan rezeki yang banyak di atas apa yang diusahakan.    

Kemiskinan dan kelemahan hidup menjadikan umat Islam tidak mampu untuk melakukan perkara-perkara kebaikan. Orang Islam yang miskin tidak berpeluang mendapat pahala bersedekah, zakat, membelanjakan ke jalan jihad dan membantu sesama Muslim.

Oleh itu sesiapa yang ingin menyempurnakan Rukun Islam iaitu mengeluarkan zakat dan menunaikan haji, maka perlulah dia terdiri golongan kaya. Orang miskin tidak mampu melaksanakan kedua-dua ibadat itu untuk melengkapkan Rukun Islam.

Malah dalam keadaan miskin dan melarat sukar untuk menumpukan perhatian untuk melakukan ibadat lain. Contohnya dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai tempat tinggal yang selesa, sudah pasti sukar untuk menunaikan ibadat sembahyang, berzikir dan sebagainya.

Jadi, tidak benar jika dikatakan harta tidak diperlukan untuk melakukan ibadat. Sebab itu, sesiapa yang ingin melengkapkan Rukun Islam perlu berkerja gigih untuk mencukupkan harta sehingga mampu menunaikan kedua-dua ibadat yang berkaitan dengan harta itu.

Sesiapa berada dalam keadaan miskin dan melarat, fikirannya menjadi celaru dan keliru sehingga mungkin terdorong melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama untuk mendapatkan sesuap nasi. 

Sebab itu Rasulullah menjelaskan kemiskinan menghampirkan seseorang kepada kufur dan munafik. Lantaran itu Rasulullah sering berdoa agar dijauhkan daripada kemiskinan.   

No comments:

Post a Comment