Wednesday 24 October 2018

SEJARAH WANITA DALAM POLITIK NEGARA


Sejarah penglibatan wanita dalam parti bermula seawal gerakan menentang cadangan penubuhan Malayan Union pada 1945 melalui UMNO. Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut terlibat buat pertama kalinya secara terbuka dalam gerakan politik tanah air.

Tiga tokoh wanita iaitu Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah bertemu bagi membincangkan mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu. 

Ekoran pertemuan itu UMNO telah menubuhkan Jabatan Kaum Ibu pada 1947 dengan Putih Mariah dilantik sebagai ketuanya yang pertama. Setahun kemudian Jabatan Kaum Ibu diperbesarkan menjadi Pejabat Setiausaha.

Pada 25 Ogos 1949, bertempat di Butterworth, UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agung Wakil Wanita dari bahagian-bahagian UMNO bagi menubuhkan satu badan yang dinamakan Ahli-ahli Perempuan UMNO (APU) yang dianggap sebagai pertubuhan politik rasmi  pertama untuk wanita di negara kita dengan Putih Mariah sebagai ketuanya.

Setahun kemudian kepimpinan APU diterajui Tan Sri Zainun Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain. Di bawah kepimpinannya, APU telah menambah ahli dan jumlah cawangannya. Beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air bersama sekeping peta Tanah Melayu dan sehelai bendera UMNO di tangan, untuk memberi penerangan mengenai politik dan kemerdekaan.

Pada 1956 nama APU ditukar kepada Pergerakan Kaum Ibu UMNO. Fatimah telah dipilih menjadi ketua dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 1957 dan beliau menerajui Pergerakan itu hingga 1972. Pada Ogos 1971, UMNO mengadakan Persidangan Agung Khas bagi mengatur corak perjuangan UMNO. Perlembagaan UMNO telah dipinda dan Pergerakan Kaum Ibu telah ditukar namanya kepada Pergerakan Wanita UMNO bagi melambangkan imej dinamik.

Menyedari perkara itu, kepimpinan parti membuka peluang untuk mengetengahkan calon wanita dalam pilihan raya. Parti Perikatan yang disertai UMNO, MCA dan MIC meletakkan calon wanita pada pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 1955 iaitu Halimahton Abdul Majid. Pada PRU pertama 1959, Perikatan mengemukakan dua calon wanita iaitu Tan Sri Zainun Sulaiman dan Tun Dr Fatimah Hashim.

Tun Dr Fatimah dilantik menjadi wanita pertama dilantik menjadi menteri kabinat sebagai Menteri Kebajikan pada 20 Mei 1969. Sejak saat itu, Malaysia tidak pernah ketinggalan melantik wanita sebagai menteri kabinat. pertama dan seterusnya dilantik menyertai kabinat.  

Kedudukan wanita bukan sekadar penyeri atau nasi tambah, tetapi menjadi nadi kekuatan. Sebab itu, Pas yang pernah mengeluarkan fatwa bahawa wanita haram menjadi calon pilihan raya dan dilantik menjadi pemimpin, telah berubah pegangan apabila turut melantik wanita sebagai calon. Bahkan, Pas sanggup berkerjasama dan mengiktiraf parti yang dipimpin oleh wanita.

Pas pertama kali mengemukakan wanita atau muslimat sebagai calon pilihan raya adalah pada tahun 1969, iaitu Khadijah Sidek di Parlimen Dungun Selatan, Terengganu. Khadijah adalah bekas ketua wanita UMNO yang dipecat dan Pas mengambil kesempatan untuk menawan hati pengundi ahli UMNO dengan meletaknya sebagai calon Pas. 

Khadijah kalah dan selepas itu Pas tidak lagi meletakkan calon muslimat sehinggalah pilihan raya pada tahun 2004. Tindakan Pas dilihat sebagai mengambil hati kaum muslimat yang dilihat sabagai tonggak kekuatan parti itu. Pada PRU-13, Pas meletak tujuh calon wanita di kerusi parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Tindakan Pas itu satu pengiktirafan besar terhadap muslimat yang menjadi tonggak utama dalam kerja-kerja parti. Mereka tidak boleh lagi berselindung dengan alasan dilarang oleh agama untuk melantik calon wanita. Malah, Pas kini dilihat lebih ke hadapan dalam meletakkan calon wanita dalam PRU. Pada PRU-13, Pas meletakkan tiga calon wanita di Kelantan, berbanding hanya dua oleh BN.

Pas terpaksa mengetepikan 'fatwa' haram meletakkan calon wanita setelah melihat gelombang kebangkitan dan sumbangan muslimat dalam Pas. Muslimat menjadi nadi penggerak dalam meraih undi. 

Tidak dinafikan, aktiviti parti menjadi hambar tanpa kehadiran wanita. Jadi, mana-mana parti yang tidak menghargai wanita akan hilang sokongan golongan yang menjadi separuh daripada jumlah pengundi di negara kita.

Berdasarkan kepada rekod Yang Berhormat wanita sebelum ini, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat amat baik setanding YB lelaki, kalaupun tidak lebih hebat. Tidak dinafikan, faktor budaya timur dan jantina membataskan mereka untuk lebih menonjolkan berbanding wakil rakyat lelaki.

Satu lagi perkara yang tidak dapat dielak ialah pemimpin wanita dipandang sinis oleh sebilangan ahli politik lelaki. Mereka dikatakan tidak layak untuk jadi pemimpin yang tugasnya amat mencabar. Kata-kata itu sebenarnya lahir daripada mereka yang ingan merebut jawatan yang dipegang oleh wanita dalam parti. 

Justeru pemimpin wanita sudah tentunya perlu berusaha lebih keras memberi khidmat terbaik. Mereka perlu membukti kemampuan dalam mengendalikan kes dan kejadian yang melibatkan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan sensasi dan kontroversi. 

No comments:

Post a Comment