Sunday 28 October 2018

LELAKI BERPOLIGAMI DIPANGGIL MENGANDAR


Lelaki berkahwin lebih daripada satu dipanggil poligami. Namun di Kelantan satu istilah lain digunakan iaitu mengandar atau ngadar sebagai merujuk kepada lelaki berpoligami. Biarpun istilah itu kini semakin jarang digunakan, ia masih difahami di kalangan orang tua.

Mengapa berpoligami dikatakan mengandar? Perkataan itu sebagai merujuk kepada perlunya suami berpoligami perlu berlaku adil kepada isteri-isteri. Jadi, mengapa pula berlaku adil itu dikaitkan dengan mengandar?

Mengandar ialah membawa barang yang diletakkan tergatung pada batang kayu. Batang kayu itu dipanggil kandar atau kandaran. Ketika membawa bawa atau meletakkan barang di atas kandaran, berat barang itu mesti sama berat atau lebih kurang sama berat.

Tentu sekali agak sukar untuk meletakkan berat barang sama pada setiap bahagian. Jadi, untuk menjadikan imbang, pembawa kandaran perlu melaraskan jarak barang dengan bahagian bahu yang menjadi tempat memikul kandar.

Jika di bahagian depan lebih berat, maka jarak kandar di bahagian depan perlu 'dipendekkan'. Cara lain untuk mengimbangkan kandaran ialah dengan satu tangan akan menampung sebelah yang berat itu.

Mengambil kepada analogi atau perumpamaan perbuatan mengandar yang perlu kepada perimbangan yang betul, maka lelaki yang berpoligami dipanggil atau disebut sebagai mengandar atau ngadar.

No comments:

Post a Comment