Wednesday 24 October 2018

BAIK BERMULA AWAL MENCARI REZEKI

Allah tidak menurunkan rezeki jatuh dari langit, atau keluar dari perut bumi tanpa seseorang berusaha mendapatkannya. Sebab itu, setiap individu wajib mencari rezeki untuk keperluan hidupnya. Allah telah mencipta alam ini untuk kemudahan manusia mencari keperluan hidup.

Selain mencari rezeki untuk keperluan diri sendiri, individu yang memegang tanggungjawab sebagai bapa, ibu atau bertanggungjawab terhadap individu lain, juga bertanggungjawab mencari rezeki untuk orang bawah tanggunggannya.

Tanggungjawab mencari rezeki untuk diri sendiri adalah apabila seseorang mula boleh berdikari. Individu yang telah mencapai usia mampu bekerja (dalam konteks undang-undang di negara kita usia 18 tahun dan ke atas dikira layak bekerja) perlu bekerja. 

Bahkan, jika telah meninggalkan alam persekolahan lebih awal, perlu terus bekerja mengikut kesesuaian kelulusan dan tenaga. Remaja yang bekerja awal dapat mengelak diri mempersiakan masa dan terjebak aktiviti tidak sihat.

Bagi keluarga miskin sudah tentu amat mengharapkan bantuan daripada anak yang telah dewasa untuk menanggung sebahagian keperluan sara hidup keluarga. Peluang itu perlu dimanfaatkan sebelum mempunyai keluarga sendiri yang perlu diuruskan. 

Allah menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi anak yang membantu meringankan beban hidup ibu bapa dan ahli keluarga. Pengorbanan mereka dibalas dengan kehidupan yang bahagia di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” (Hadis riwayat Thabrani).       

Usaha mencari rezeki tidak sekadar untuk memenuhi keperluan asas hidup. Islam menggalakkan umat agar mencari kekayaan melebihi apa yang diperlukan. Tiada had ditetapkan untuk mencari kekayaan dan kemewahan hidup.  

Kekayaan dan kesenangan hidup di dunia merupakan anugerah Allah kepada seluruh hamba-Nya yang perlu direbut. Usaha mencari rezeki hendaklah diutamakan, tetapi tidak pula sehingga mencuaikan ibadat khusus seperti solat dan puasa.

Firman Allah bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu.  Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di akhirat.” (Surah al-Qashash, ayat 77).

Islam memerlukan banyak penganutnya yang kaya dan berjaya membangunkan ekonomi umatnya. Kejayaan itu amat bermakna untuk dikongsi bersama bagi kesejahteraan ummah. Golongan kaya diharapkan dapat membantu golongan fakir dan miskin menikmati kehidupan lebih baik. 

Bantuan golongan kaya kepada golongan miskin bukan sekadar dalam bentuk zakat dan sedekah. Apa yang lebih penting ialah menyediakan peluang pekerjaan yang dapat menjana pendapatan secara berterusan. Seperti kata pepatah, jika ingin membantu seseorang, berikan kepadanya pancing agar dia mampu mencari sendiri ikan yang diperlukannya secara berterusan.

Sekarang ini, penganut Islam terpaksa bergantung peluang pekerjaan dengan syarikat milik bukan Islam. Bekerja dengan bukan Islam tidak ditegah oleh agama. Tetapi, tentulah lebih elok jika orang Islam dapat bekerja dengan pengusaha Islam.

Disebabkan umat Islam tidak mampu menyediakan sepenuhnya keperluan orang Islam, banyak keperluan asas terpaksa diperoleh daripada pengusaha bukan Islam. Sepatutnya, umat Islam perlu berusaha memenuhi kerperluan umat Islam sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah.

Contohnya dalam soal penyediaan bahan makanan. Orang Islam terpaksa mendapat makanan dihasilkan di kilang atau kedai makan peniaga bukan Islam. Akibat itu sering berlaku makanan yang dihasilkan adalah tidak halal, sama ada bahan tidak halal atau cara sembelihan yang tidak mengikut syariat.

Untuk mengatasi masalah ini memerlukan kesungguhan setiap orang Islam berusaha melakukan aktiviti ekonomi dan pekerjaan. Kitaran ekonomi melibatkan sesama umat Islam perlu ditingkatkan untuk meningkatkan keuntungan bersama.

Usaha ke arah ini termasuk dalam fardu kifayah untuk kepentingan umat Islam. Dalam era globalisasi sekarang ini amat mementing kekuasaan ekonomi untuk terus berkuasa dan mengelak dari menjadi mangsa kepada kerakusan pihak lain.  

Sebab itu, setiap individu Muslim perlu merebut setiap peluang pekerjaan yang ada. Sikap remaja dan belia melepaskan peluang bekerja dengan alasan ingin enjoy merugikan diri sendiri. Bekerja sebenarnya juga mendatangkan kepuasan jika dilakukan dengan ikhlas dan bersemangat.

Islam melarang membazirkan usia tanpa melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat untuk diri, keluarga dan agama. Masa yang tidak dimanfaatkan adalah umpama pedang yang akan mencederakan diri sendiri.    

Masyarakat tanpa amalan disiplin dan cita-cita yang tinggi pasti akan menghadapi krisis kemanusiaan yang mempersia-siakan sumber kebaikan yang tersedia. Sebab itu, proses membina dan memperkayakan modal insan penting dilakukan agar potensi dalaman dapat dijana menghasilkan sesuatu yang bernilai.

Sebab itu, Rasulullah pernah mengingatkan belia agar menggunakan kesempatan umur muda sebelum sampai umur tua. Banyak kelebihan yang dimiliki individu dalam kategori umur muda. Paling ketara ialah tenaga masih kuat, bersemangat dan tahan cabaran. 

Setiap usaha memerlukan masa panjang untuk berjaya. Bermula lebih awal memberi lebih banyak peluang untuk berjaya. Sebab itu, usia muda amat elok memulakan alam pekerjaan dan seterusnya mencapai kejayaan apabila usia semakin meningkat. 

Sekarang tidak dinafikan agak sukar untuk mendapat pekerjaan agak baik sepertimana yang diharapkan. Didapati banyak graduan tidak mendapat pekerjaan selayaknya mengikut kelayakan atau kelulusan. Justeru mereka terpaksa memilih pekerjaan di peringkat bawah.    

Sebenarnya peluang bekerja daripada peringkat bawah adalah satu pengalaman yang amat berharga. Pengalaman bekerja daripada peringkat bawah banyak membantu untuk menjadi pengurus dan pentadbir yang baik. 

Sekarang ini peluang perkerjaan terbuka luas, asalkan tidak terlalu memilih pekerjaan. Negara masih mengalami kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor. Belia pencari kerja mesti mencari peluang dalam bidang yang masih kekurangan tenaga kerja.   

Sumbangan pekerja dalam apa juga bidang amat bererti kepada negara. Perkara yang paling penting difikirkan ialah mempunyai pekerjaan yang mampu menyara hidup diri sendiri dan keluarga tanpa perlu memikirkan taraf pekerjaan itu. 

Allah tidak memandang apakah jenis pekerjaan seseorang itu. Apa yang penting usaha dilakukan secara halal dan memberikan kebaikan. Usaha yang baik memberi nilai kehidupan yang menepati kehendak syariat.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari).

Berusahalah membentuk sikap dan pemikiran bahawa bekerja itu satu jihad dan ibadah. Jangan lepaskan peluang untuk meningkatkan kedudukan di sisi Allah dengan cara banyak melakukan kerja. Setiap detik masa melakukan perkerjaan yang baik adalah dibalaskan seperti pahala berjihad.

Kesimpulannya, boleh dikatakan semangat berkerja dan mencari kebaikan di dunia ini mempunyai kaitan yang rapat dengan semangat pengabdian manusia sepenuhnya kepada Maha Pencipta. 

Islam menetapkan polisi bahawa setiap yang mendatangkan kebaikan dan diniatkan mencari keredaan Allah itu adalah ibadat. Justeru, sesiapa bekerja dengan ikhlas memenuhi tuntutan agama, dia beroleh keuntungan di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment