Wednesday 24 October 2018

SIKAP BENAR DALAM TINGKAHLAKU


Bersikap benar dalam percakapan dan perbuatan ialah prinsip utama yang perlu dipelihara oleh orang beriman. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah dan jadilah kamu bersama orang yang bersifat benar.” (Surah At-Taubah ayat 119) 

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Jadilah kamu orang yang benar dan jujur kerana ia mendorong kepada kebaikan seterusnya membawa ke syurga. Ketika itu mereka ditulis di sisi Allah SWT daripada kalangan orang yang benar. Dan janganlah kamu menjadi pendusta kerana ia mendorong kepada kejahatan seterusnya membawa ke neraka. Ketika itu mereka akan dicatat sebagai pendusta.” 

Oleh itu sifat ini menjadikan Saidina Abu Bakar sebagai sahabat terbaik dalam kalangan yang terbaik dengan gelaran As-Siddiq. 

Bersikap benar dalam percakapan dan janji amat penting diamalkan terutama di kalangan pemimpin. Janji mereka membabitkan rakyat yang ramai. Jadi, jika tidak ditunaikan, maka akan menimbulkan rasa kecewa melibatkan ramai orang.

Maka, hendaklah setiap orang mengutamakan bersikap jujur dalam semua perkara. Lawan kepada sikap jujur ialah sikap dusta dan tidak menunaikan janji. Sesungguhnya, dusta ialah sifat keji dilaknat Allah SWT kerana ia adalah pakaian dihias syaitan berteraskan nafsu membinasakan.

Firman Allah SWT: “Celakalah orang yang curang iaitu apabila mereka menerima timbangan orang lain, mereka minta dicukupkan dan apabila mereka menimbang untuk orang lain mereka menipu.” (Surah Al-Mutaffifin ayat 1-2). 

Jumhur ulama berpendapat mereka yang menipu dalam apa juga bidang diceburi termasuk daripada golongan dimaksudkan Allah pada ayat di atas. Mereka akan menerima azab daripada Allah SWT. Ia juga antara punca kerosakan masyarakat. 

Urusan sesama manusia amat diberi perhatian oleh Allah SWT, khususnya dalam bidang perniagaan yang penuh penipuan demi keuntungan dunia yang sedikit. 

Baginda SAW pernah berdiri dipasar pada satu hari seraya bersabda bermaksud: “Wahai peniaga sekalian, sesungguhnya peniaga dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan amat menyedihkan melainkan mereka yang jujur dan benar.” (Hadis Riwayat Tirmizi). 

Seterusnya Islam mengajar bagaimana peniaga yang baik menguruskan perniagaan mereka dalam sabdanya bermaksud : “Kaum Muslimin bersaudara, tidak halal bagi seorang Muslim menjual barang tidak elok melainkan diberitahu kelemahan barangan itu kepada pengguna.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah). 

Umat terdahulu juga banyak terbabit dalam bidang perniagaan sehingga cerita mereka diabadikan Allah SWT dalam al-Quran. Baginda SAW juga peniaga cemerlang tanpa membabitkan unsur penipuan dan orang paling jujur dalam masyarakat Quraisy. 

Firman Allah SWT kepada penduduk Madyan: Syuaib AS berkata: “Dan janganlah kamu kurangi timbangan kerana kamu sekarang dalam keadaan baik dan makmur. Aku khuatir kamu akan ditimpa azab pada hari yang membinasakan kamu. Wahai kaumku, penuhilah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak mereka kerana ia adalah kejahatan yang akan merosakkan.” (Surah Hud ayat 85-86).

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang menipu, mereka bukanlah daripada golongan kami.” (Hadis Riwayat Muslim). 

Ayat ini menunjukkan penipuan antara punca kerosakan dalam masyarakat. Ini termasuk menaikkan harga sesuka hati dan dianggap kesalahan dan haram dalam Islam kerana ia memudaratkan pengguna. 

Dalam sesetengah kes, ada juga berlaku kesepakatan antara penjual dengan pihak ketiga dengan meninggikan harga barangan itu bagi menjerat pengguna lain untuk membelinya.

Sabda Nabi SAW: “Janganlah kamu meninggikan harga barangan dengan cara “tanajush” (tidak bermaksud untuk membelinya, tetapi untuk manfaat penjual).” (Hadis Riwayt  Bukhari & Muslim).

Merampas hak orang lain juga termasuk dalam kalangan orang yang menipu kerana ia membabitkan urusan sesama manusia dan dianggap kezaliman. Apatah lagi jika ia membabitkan urusan kepemimpinan yang terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan dan penyelewengan.

No comments:

Post a Comment