Friday, 7 December 2018

BOLEH MENOREH GETAH PADA HARI HUJAN

 
Aktiviti menoreh pokok getah tidak dapat dilakukan pada hari hujan kerana susu getah yang ditadah akan bercampur dengan air hujan.  
 
Susu getah akan rosak dan tidak sesuai untuk dijual. Kerja-kerja menoreh menjadi sia-sia dan langkah bijak ialah dengan tidak melakukan kerja torehan pada hari hujan.  
 
Sebenarnya terdapat teknologi yang membololehkan aktiviti menoreh dilakukan pada hari hujan seperti dengan menggunakan alat pelindung hujan (rain gutter). Dengan teknologi tersebut berjaya mengekalkan panel torehan dalam keadaan kering sewaktu hujan yang tidak terlalu lebat.

Mengikut amalan biasa, untuk melaksanakan aktiviti penorehan, pekebun kecil akan mula ke kebun seawal 3 pagi. Aktiviti penorehan digalakkan di awal pagi kerana tekanan dalaman pokok bagi menghasilkan lateks yang tinggi.

Terdapat juga teknologi penuaian lateks, Sistem Torehan Berintensiti Rendah atau "Low Intensity Tapping System" (LITS) yang dapat meningkatkan produktiviti melalui bahan rangsangan atau penggalak susu getah. 

Dengan menggunakan teknologi LITS, pokok getah boleh ditoreh dengan kekerapan yang lebih rendah seperti sekali dalam tempoh empat hari, atau dua kali dalam tempoh seminggu tetapi tetap mengeluarkan hasil yang sama.

Oleh itu, hari yang tidak menoreh boleh digunakan untuk menoreh di kebun lain bagi pekebun kecil yang mempunyai kebun yang melebihi 1.2 hektar atau untuk menjalankan aktiviti ekonomi sampingan seperti integrasi tanaman dan ternakan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Alat Pelindung Hujan Untuk Panel Dan Alur Torehan Alat pelindung hujan ialah sebarang peralatan berbentuk “awning” yang boleh digunakan dan mampu memberikan perlindungan terhadap alur torehan dari basah akibat lelehan air hujan yang turun ke batang pokok.

Penggunaan alat ini dapat membantu meningkatkan hari menoreh dengan cara mengelakkan panel torehan menjadi basah akibat hujan gerimis. Penggunaan alat ini digabungkan dengan torehan lewat dan torehan ganti. 

Torehan lewat ialah torehan yang dilakukan di luar masa kebiasaan torehan disebabkan oleh hujan pada awal pagi.

Contohnya, masa torehan biasa bermula dari jam 3 pagi. Namun, disebabkan hujan di awal pagi, torehan lewat dilakukan pada tengah hari. Manakala torehan ganti merujuk kepada hari torehan yang diubah pada hari berikutnya disebabkan hujan lebat yang turun pada hari menoreh. 

Peningkatan hari menoreh seterusnya dapat meningkatkan produktiviti kawasan di mana hari menoreh yang banyak mampu meningkatkan hasil torehan per unit kawasan.

Sebenarnya penorehan boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan mengambil maklum yang hasilnya adalah berbeza-beza berdasarkan pada waktu tekanan turgor yang tinggi iaitu pada waktu pagi dan akan berkurangan apabila tiba waktu tengah hari dan petang.

Perkara ini masih belum meluas diamalkan di Malaysia biarpun telah dilakukan di beberapa buah negara pengeluar getah lain. 

Satu masalah ialah mengenai kos penyediaan pelindung. Keduanya, Malaysia antara negara penerima taburan hujan yang tinggi hampir sepanjang tahun.

Untuk menoreh getah bukan perkara mudah, tambah lagi pada musim hujan. Bayangkan nasib penoreh getah meredah gelap malam dalam keadaan hujan dan persekitaran kebun yang jauh dari rumah, berada di pinggir hutan dan kawasan berbukit. 

Begitu juga terori mengenai torehan lewat. Pada musim tengkujuh, hujan turun tidak tentu masa. Sekejap hujan sekejap tidak. Ada kalanya hujan turun sepanjang hari. Jadi, tiada ertinya torehan lewat.

Maknanya, teori tidak mudah untuk dilaksanakan. 

No comments:

Post a Comment