Tuesday 19 February 2019

PEMIMPIN PERLU BERILMU BAGI MELAKUKAN TUGAS BERAT

Seorang pemimpin yang berjaya seharusnya mempunyai ilmu dan pemikiran yang mantap dan mampu mengendalikan negara bersandarkan al-Quran dan al-Hadis.

Pemimpin yang sebegini mampu menangani sebarang masalah yang timbul yang memerlukan penyelesaian secara bijak pandai tanpa mencacat celakan sistem pemerintahan.

Pemimpin yang tidak berilmu dan tidak mengamalkan nilai kemanusiaan boleh menyebabkan sistem pengendalian negara menjadi longgar dan tidak mantap.

Apabila keadaan sebegini berlaku maka keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat seperti amalan rasuah, amalan menindas, menipu dan sebagainya akan meruntuhkan sesebuah sistem sosial bernegara.

Kepemimpinan negara juga perlu dikendali oleh ahli politik yang pintar serta berkemampuan. Kebolehan ini penting kepada pemimpin politik yang akan diamanahkan untuk menerajui sesebuah negara. Kejayaan kepimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rashidin adalah satu bukti yang nyata.

Kepimpinan negara dan kerajaan mempunyai tugas dan kewajipan yang besar. Pelbagai aspek dalam negara di bawah tanggungjawab pihak kerajaan. Namun tujuan utama dalam amanah kepimpinan ialah seruan ke arah kebaikan dan pencegahan daripada perkara mungkar.

No comments:

Post a Comment