Tuesday 19 February 2019

BERAPA BANYAK PERLU MAKAN

Jumlah makanan yang perlu diambil hanya mengikut keperluan untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat dan bertenaga. Setiap individu mempunyai pola pemakanan yang berbeza bergantung kepada umur, jantina, jenis pekerjaan dan keadaan kesihatan.

Tenaga dan kesihatan yang baik diperlukan untuk menjalani kehidupan yang baik. Untuk mencapai kebaikan optimun, Islam menetapkan aturan makan secara bersederhana. Orang mukmin makan apabila rasa lapar dan berhenti makan sebelum rasa kenyang.     

Menjaga perut daripada diisi dengan makanan mendatangkan mudarat adalah cara penjagaan kesihatan paling berkesan. Individu berdisiplin menjaga makan dan tidak gelojoh memakan apa saja diingini. 

Konsep berpuasa atau menahan daripada mengambil makanan tertentu dijadikan cara rawatan paling berkesan. Banyak cara rawatan penyakit bahaya adalah dengan cara mengawal pengawalan makanan.  

Amalan makan tidak mementingkan kesan kepada kesihatan menyebabkan banyak penyakit berbahaya seperti kecing manis, darah tinggi, barah, lemah tenaga dan masalah jantung. Pengidapnya terpaksa menahan diri daripada mengambil makanan secara sesuka hati.

Adalah lebih baik mencegah daripada merawat. Hargai keadaan sihat yang dinikmati sekarang. Jika sudah mengidap penyakit, biasanya patang larang adalah berkaitan dengan pemakanan.

Paling penting, kita tidak mengambil makanan yang mendatangkan kesan buruk. Jika kita telah mengenal pasti jenis makanan yang mendatangkan alahan kepada diri, adalah ditegah kita daripada memakannya.  

Kesan serta merta makan berlebihan ialah menyebabkan badan menjadi lemah. Pada masa kekenyangan, rasa malas dan mengantuk akan menguasai diri. Fikiran pula menjadi buntu dan ingin berehat berterusan.  

Justeru, individu yang mementingkan produktiviti perlu mengawal makan. Kuantiti dan jenis makanan yang dimakan perlu diberi perhatian bagi menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal dan mental. Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan untuk mengetahui cara pemakanan baik.

Makan terlalu banyak memberi kesan tidak baik kepada sistem penghadaman dalam badan. Makanan tidak diproses dengan sempurna dan menyebabkan penyerapan zat dan pencernaan makanan tidak berlaku sepenuhnya. Itu satu kerugian kerana tidak memperoleh zat yang sepatutnya.

Untuk memberi keselesaan dan kesempurnaan proses penghadaman makanan, ketika makan hendaklah dilakukan dengan sabar dan perlahan-lahan. Makanan perlu dikunyah dengan sempurna sebelum ditelan. Jangan makan terlalu banyak dan gelojoh.  

Makan melebihi apa yang diperlukan oleh badan menunjukkan sifat boros. Islam menegah sifat boros kerana mendatangkan banyak keburukan. Kita menanggung kerugian kewangan dan mengurangkan tahap kesihatan.

Jika peraturan berkaitan pemakanan ini dipatuhi, sudah pasti masalah kegemukan dan penyakit berkaitan dengannya dapat diatasi. Kita bukan sahaja tidak perlu menghabiskan banyak wang untuk membeli pil pelangsing, tetapi jimat tidak perlu banyak membeli makanan yang tidak diperlukan.

Dapatkan badan yang langsing dan pada masa yang sama tahap kesihatan yang baik. Jangan mudah terpengaruh dengan teori langsing yang disogokkan melalui iklan pusat-pusat yang menawarkan program melangsingkan badan atau pil-pil pelangsing badan. 

Tidak ada cara mudah untuk langsing, melainkan disiplin diri yang tinggi. Jaga pemakanan dan tingkatkan kekerapan bersenam. 

No comments:

Post a Comment