Menteri
Pertahanan Mohamad Sabu pada 19 April 2019 mengarahkan amalan pemberian pangkat
kehormat tentera kepada ahli politik dan selebriti dihentikan demi menghormati
kedudukan tentera dan mengelakkan nilai pangkat dan gelaran pasukan itu
direndahkan.
Arahan
itu susulan pandangan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang
mengatakan "sangat tidak masuk akal tentera memberikan pangkat kehormat
kepada menteri besar, ahli politik dan selebriti,”
Pada 23
Jul 2019, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ketua Menteri Melaka, Hj
Adly Hj Zahari telah dianugerahkan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) di
Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan.
Majlis
pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Menurut
Kementerian Pertahanan, penganugerahan pangkat tersebut telah diperkenakan
menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera ke-575 berkuatkuasa pada 24 Mei 2019.
Penganugerahan
pangkat tersebut adalah selari dengan peranan Menteri Besar Selangor dan Ketua
Menteri Melaka sebagai penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW)
di negeri masing-masing.
Menurut
Kementerian Pertahanan, penaung JAKPAW pada setiap negeri adalah Menteri Besar
atau Ketua Menteri yang dilantik menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera
dengan diperuntukkan pangkat Brig Gen (Kehormat).
Selain
daripada itu, penjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada Setiausaha
Kerajaan (SUK) Negeri,
Pelantikan
Pengerusi JAKPAW dibuat oleh Menteri Besar, Ketua Menteri, atau Menteri Wilayah
Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kolonel (Kehormat).
JAKPAW
merupakan satu jawatankuasa yang ditubuhkan di setiap negeri yang bertujuan
untuk menggalakkan rakyat untuk menyertai Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP).
Tujuan
organisasi jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk merancang semua jenis
bantuan kepada ASP seperti kem gunasama, mempromosikan Askar Wataniah (AW) di
kalangan masyarakat dan menggalakkan penyertaan orang awam menyertai ASP
melalui komitmen majikan.
Piagam
Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Persekutuan telah ditetapkan menerusi
Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Bilangan 1 Tahun 1996.
Kesemua
penjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan Majlis Angkatan
Tentera (MAT) dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terlebih
dahulu.
Penjawatan
tauliah kehormat ini boleh ditamatkan sekiranya penyandang melakukan kelakuan
yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau tidak
lagi menyandang jawatan mereka. Perkara tersebut adalah termaktub dalam Seksyen
198, Akta Angkatan Tentera.
Persoalannya,
mengapa pegawai di Kementerian Pertahanan tidak menjelaskan kepada menterinya
ketika membuat kenyataan pada 19 April lalu? Adakah pegawai yang berkenaan pun
keliru dan tidak tahu tentang perkara itu?
Sebenarnya,
penganugerahan pangkat kehormat juga diberikan kepada pentadbir di universiti
yang mana ada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) sama ada tentera
darat, laut mahupun udara. Naib Canselor universiti berkenaan akan
dianugerahkan dengan pangkat Kolonel (Kehormat) untuk tentera darat dan udara,
manakala Kepten (Kehormat) untuk tentera laut.
Pangkat
kehormat berbeza dengan pangkat anggota dalam pasukan simpanan. Pangkat
kehormat tidak memerlukan mereka menjalani latihan ketenteraan. Lantikan mereka
terus kepada pangkat yang diberikan itu.
Sebaliknya,
penganugerahan pangkat kepada anggota dalam pasukan simpanan melalui latihan
dan kenaikan pangkat mengikut peraturan yang ditetapkan.
Pangkat
kehormat tidak layak untuk mendapat elaun atau apa-apa kemudahan yang disediakan
oleh angkatan tentera kepada anggotanya. Sedangkan anggota simpanan mendapat
elaun dan kemudahan apabila dikehendaki menjalani latihan atau melakukan tugas.
Contoh
pasukan simpanan ialah Rejimen Askar Wataniah (Wataniah) yang terdapat hampir
di setiap negeri dengan menggunakan nombor siri 500. Contohnya di Kelantan
terdapat Rejimen 506 Askar Wataniah (Rej 506 AW).
Terdapat
Kor yang mempunya askar simpanan sendiri seperti Arteleri, Polis Tentera dan Angkut.
Selain itu terdapat pasukan simpanan pakar seperti telekomunikasi, kereta api, bekalan
air dan elektrik.
Dengan
kata lain, pemakaian pangkat tentera tidak hanya kepada mereka yang menjadikan tentera
sebagai kerjaya. Sebaliknya, pangkat tentera juga disandang atau dianugerahkan kepada
mereka yang layak berdasarkan jawatan untuk pangkat kehormat dan mereka yang menyertai
pasukan simpanan.
Sebenarnya,
setiap tahun, panganugerahan pangkat pegawai kepada anggota simpanan lebih ramai
berbanding anggota tetap. Contohnya, pada 2018, seramai 1789 anggota PALAPES Universiti
Awam ditauliahkan sebagai pegawai dalam pasukan simpanan.
No comments:
Post a Comment