Tuesday, 23 July 2019

MAKMUM BACA AL FATIHAH DENGAN KUAT, APA HUKUMNYA

Secara umumnya, seseorang makmum ditegah daripada membaca dengan kuat di belakang imam. Bahkan sepatutnya dia membaca dengan perlahan sekadar hanya boleh didengari oleh dirinya sendiri. 

Imam al-Nawawi menyebut fakta ini dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab  (3/364): “Apabila kita berpendapat bahawa wajib bagi makmum untuk membaca (al-fatihah) ketika solat jahar (yang dibaca kuat seperti subuh dan solat Jumaat), (tetapi) makruh bagi makmum untuk menguatkan (bacaannya) sampai mengganggu jirannya (yakni orang lain sekelilingnya) bahkan hendaklah dia memperlahankan (suaranya) sampai hanya boleh didengar oleh dirinya sendiri, jika dia seorang yang sami` (tidak pekak) dan tiada suatu yang menyibuk (atau mengacau bacaan itu) daripada bunyi bising dan selainnya, kerana itulah sekurang-kurang kadar bacaan yang memadai.”

Sekalipun kenyataan di atas menunjukkan larangan makruh, namun sebahagian para ulama Syafieyyah menegaskan keharamannya apabila ia mengganggu orang lain, kerana itu adalah mudarat.

Berkata Imam Ba Fadhl dalam al-Muqaddimah al-Hadhramiah: “Dan  diharamkan menguatkan suara sekiranya mendatangkan tasywisy (mengacau bacaan) atas orang lain.”

Adapun jika terdapat keuzuran, seperti suasana bising sehingga seseorang itu memerlukan untuk menguatkan suara, lalu dia mendatangkan bacaan berdasarkan keadaan itu, maka tidak makruh atau haram.

Pun begitu, terdapat beberapa pengecualian di mana boleh makmum itu menguatkan suara.  Antara;
- Suara Muballigh. Sekiranya suara imam itu perlahan sehingga dikhuatiri tidak sampai kepada jemaah yang berada di belakang, disunatkan bagi makmum itu bertindak sebagai muballigh (penyampai) akan suara imam itu dengan dia menguatkan suaranya.
- Membaca amin selepas al-Fatihah imam.

Justeru, dapat simpulkan bahawa:
- Makruh hukumnya bagi seorang makmum membaca kuat semasa solat berjemaah kerana boleh mengganggu orang lain dan mereka hanya disunatkan membaca dengan perlahan sekadar didengari oleh diri sendiri.
- Haram jika makmum membaca kuat sehingga begitu mengganggu orang lain, dan juga mengacau bacaan orang yang berada di sebelah.
- Tidak haram mahupun makruh jika tidak mengganggu orang lain, dan terdapat keuzuran  seperti bunyi bising. Namun tidak diwajibkan untuk menguatkan suara jika terdapat bunyi bising, memadai dia membaca kadar suara pada keadaan yang tidak bising.
- Disunatkan untuk makmum menguatkan suara apabila mengucapkan amin selepas bacaan al-Fatihah imam dalam solat jahriyyah, termasuk juga sewaktu qunut, dan bagi makmum yang menjadi muballigh.

No comments:

Post a Comment