Friday, 2 August 2019

SELAMATKAH HELIKOPTER NURI TERUS DIGUNA


Setiap kali berlaku kes kecelakan melibatkan pesawat helikopter Nuri, akan timbul cadangan agar kerajaan menghentikan penggunaan pesawat yang telah digunakan dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak tahun 1967 itu dihentikan.

Namun, ada yang berpendapat faktor usia bukan penghalang Nuri terus digunakan, tetapi memerlukan penambahbaikan dan tumpuan kepada penyelenggaraan.

Nuri dikatakan pesawat pengangkut terbaik di dunia dengan enjin dan alat ganti boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Contohnya, Nuri yang masih digunakan untuk tujuan menghantar bekalan dan latihan dinaik taraf daripada sistem analog kepada digital.

Penukaran dari sistem analog kepada digital bagi meningkatkan keupayaan penerbangan terutamanya dalam penggunaan peralatan supaya ia dapat diaturgerakkan dalam apa jua keadaan.

Sistem avionik secara digital ini membolehkan Nuri meneruskan operasinya bagi 15 tahun lagi dan memudahkan juruterbang mengendalikannya berbanding dulu.

Menurut pakar, tidak dinafikan pesawat Nuri apabila telah lama berada dalam perkhidmatan, mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk mencapai kehausan di dalam struktur logam dan enjinnya.

Namun, ini merupakan faktor teknikal, yang jika pemantauan secara komprehensif dilakukan secara berterusan, pesawat yang lama umurnya seperti Nuri masih selamat lagi digunakan.

Individu yang pernah terlibat sama ada sebagai juruterbang mahupun penyelenggara Nuri berpendapat Nuri antara aset TUDM yang mempunyai rejim penyelenggaraan yang amat baik. Usia lanjut sesebuah pesawat itu tidak banyak memainkan peranan sekiranya penyelenggaraan adalah baik.

Malah, dikatakan tindakan TUDM menggantikan Nuri secara berperingkat-peringkat sebelum ini bukanlah kerana usia atau masalah penyelenggaraan, tetapi adalah untuk menyesuaikan peranan yang dimainkan TUDM seperti pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR), 'special forces insertion and extraction' yang memerlukan helikopter yang berperanan khusus.

No comments:

Post a Comment