Friday 1 July 2022

DOSA KEKAL SELAGI TIDAK DIAMPUN ORANG DIUMPAT

  
Setiap yang melakukan dosa tidak tidak kira kecil atau besar akan dicatatkan dan bakal menerima balasan setimpal di akhirat. Namun, kesalahan dosa itu akan terhapus di dalam catatan amalan jika pelakunya bertaubat atau memohon ampun daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 
 
Namun, ada dosa yang sukar untuk dihapuskan dalam catatan amalan, iaitu dosa berkaitan dengan orang lain. Contohnya dosa mengumpat. 
 
Mengumpat atau umpatan adalah kata-kata bermaksud untuk menodai nama orang lain yang boleh merugikan atau mendatangkan kesan buruk kepada orang berkenaan. 
 
Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabda yang bermaksud: “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.” (Hadis riwayat Muslim). 
 
Dosa mengumpat bukan saja besar, tetapi antara dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Perkara ini sepatutnya menyebabkan kita berfikir banyak kali jika ingin mengumpat. 
 
Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang diumpat. Maknanya, Allah SWT menerima taubat dosa mengumpat bergantung kepada kesediaan orang diumpat mengampunkan perbuatan itu. 
 
Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. 
 
Jadi, orang soleh yang terlanjur mengumpat akan kekal menanggung dosa itu sehingga ke akhirat biarpun dia telah berulang kali bertaubat. Sedangkan dosa-dosa lain boleh terhapus melalui taubat.   
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Dunya dan Ibnu Habban) 
 
Berhati-hatilah dengan kesalahan mengumpat. Orang yang kita umpat dan keji kerana melakukan sesuatu kesalahan apabila dia bertaubat akan diampunkan dosanya, sedangkan kita yang berasa diri baik pula terus menanggung dosa mengumpat selagi orang yang diumpat itu tidak memaafkan.

No comments:

Post a Comment