Tuesday 24 October 2017

Cara basuh kawah sebelum disimpan

Kata seorang kawan, lepas guna mestilah kena basuh. Betul tu. Tidak elok ditinggalkan dalam keadaan kotor. Termasuklah kawah yang digunakan untuk kaca sura mahupun kenduri kendara mesti terus dibasuh selepas digunakan. Memasak guna kawah biasanya untuk kenduri dan majlis yang memerlukan memasak dengan kuantiti banyak.

Tidak ramai yang suka cuci atau basuh kawah. Pertamanya kerana bukan senang nak basuh kawah yang besar dan tentulah kotor setelah digunakan. Kawah tentu dalam keadaan hitam yang jika dipegang akan menyebabkan tangan kotor.

Di majlis perkahwinan, biasanya pengantin lelaki akan 'diragging' membasuh kawah, siap ada orang akan mengawasi untuk memastikan kawah betul-betul telah bersih. Tidak kena gaya boleh sampai larut malam.

Semasa membasuh kawah kena berhati-hati. Perlu diingat, di bahagian tepi kawah agak tajam. Jika tidak berhati-hati pasti akan menyebabkan tangan tercedera dan berdarah. Sebab itu jika membasuh kawah sesuai dilakukan dua orang agar mudah untuk mengangkat dan mengubah kedudukan kawah agar boleh dibasuh di bahagian bawah.

Memandangkan kawah diperbuat daripada besi, memang ia mudah berkarat atau ada debu-debu karat. Setelah dibasuh dan dibiarkan kering, tambah pula dalam keadan cuaca panas, tidak sampai sejam akan kelihatan warna perang tanda tanda ada karat. Jadi, untuk mengelak kawah menjadi berkarat, setelah dibasuh hendaklah disapukan minyak masak ke seluruhan bahagian.

Sebelum kawah digunakan semula, elok dibasuh kawah itu dan dipanaskan dengan sedikit air yang mana air itu akan dibuang setelah panas dan diratakan ke seluruh bahagian dalam kawah. Tindakan itu bagi membuang debu-debu karat yang ada.

No comments:

Post a Comment